KUALA LUMPUR 17 Jun - Penipuan dalam talian terus mencari cara baharu untuk menipu pengguna yang kurang curiga, terutamanya dengan peningkatan aktiviti e-dagang baru-baru ini yang didorong oleh pandemik COVID-19.
Maybank dalam satu kenyataan memaklumkan, memandangkan lebih ramai pengguna memilih untuk berurus niaga dalam talian pada hari ini, 'scammer' mencari peluang untuk memperdayakan pengguna dengan menggunakan taktik baharu dan canggih.
Jelasnya, selain membangunkan laman web atau aplikasi perbankan palsu untuk memikat atau menarik perhatian pelanggan, scammer kini telah memasukkan komponen ‘malware’ dalam aplikasi penguatkuasaan undang-undang palsu dan laman web untuk mendapat akses kepada maklumat perbankan dalam talian pelanggan seperti nama pengguna serta kata laluan.
Beberapa petua berguna yang boleh diikuti pelanggan untuk melindungi diri mereka apabila menggunakan platform dalam talian termasuk:
• Elakkan memasang/memuat turun fail aplikasi/APK atau klik pada pautan mencurigakan yang dihantar melalui kemudahan chat seperti SMS, WhatsApp, Messenger atau perkhidmatan lain yang serupa.
• Jangan berikan kebenaran untuk mana-mana aplikasi menghantar atau melihat SMS anda.
• Jangan abaikan sebarang amaran daripada peranti anda, terutamanya semasa memuat turun atau memasang fail baharu.
• Jangan masukkan butiran perbankan anda, terutamanya nama pengguna atau kata laluan, dalam mana-mana aplikasi atau laman web yang mencurigakan.
• Sentiasa pastikan perisian antivirus anda dikemas kini untuk perlindungan berterusan.
• Hanya muat turun aplikasi daripada gerbang aplikasi tulen seperti App Store, Play Store atau Huawei AppGallery dan bukan daripada pautan.
• Berwaspada jika anda digesa untuk memuat turun fail yang tidak serasi dengan peranti anda iaitu: Peranti iPhone/iPad diminta menggunakan peranti Android untuk memuat turun fail.
• Sentiasa perhatikan imej dan frasa keselamatan perbankan dalam talian anda (iaitu: imej dan frasa keselamatan Maybank2u), untuk memastikan laman web dan aplikasi adalah sah.
• Jangan ‘root’ atau ‘jailbreak’ peranti anda.
• Kemas kini sistem pengendalian (OS) dan aplikasi peranti mudah alih anda secara kerap.
"Jika pelanggan mengesyaki bahawa butiran akaun perbankan dalam taliannya telah terjejas, padam aplikasi dan imbas peranti dengan perisian antivirus. Seterusnya, tukar kata laluan akaun perbankan dalam talian dan hubungi talian hotline penipuan Maybank di +60358914744 untuk bantuan lanjut.
"Maybank terus berkongsi kandungan bermaklumat di laman web Maybank2u dan di Facebook dan Instagram, dalam usaha untuk mengingatkan dan mewujudkan kesedaran di kalangan pelanggan tentang bahaya penipuan ‘malware’ ini," katanya.
Tambahnya, pelanggan harus sentiasa memberi perhatian kepada peringatan ini supaya mereka terus mengetahui tentang kaedah penipuan terkini demi melindungi diri mereka.
"Pada masa sama, bank ingin mengingatkan pelanggan agar terus berwaspada tentang taktik penipuan lain seperti penipuan ‘phishing’ melalui SMS/e-mel, panggilan telefon yang mendakwa pelanggan telah melakukan beberapa jenis kesalahan, pembayaran untuk bungkusan (parcel) dan sebagainya.
"Ia semuanya bertujuan untuk mendapatkan butiran perbankan pelanggan atau mendorong mereka untuk memindahkan dana mereka kepada scammer," katanya. - DagangNews.com








