Maybank IB naikkan unjuran pendapatan S P Setia bagi FY23-25 berikutan penjualan tanah di Johor kepada Scientex | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB naikkan unjuran pendapatan S P Setia bagi FY23-25 berikutan penjualan tanah di Johor kepada Scientex

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) telah meningkatkan unjuran pendapatan S P Setia Berhad bagi tahun kewangan 2023 sehingga 2025 (FY23-25) sebanyak 4% sehingga 76% selepas tanahnya di Johor dijual kepada Scientex Bhd.

 

Semalam, S P Setia dan Scientex dilaporkan telah memeterai perjanjian jual beli tanah berharga RM547.7 juta yang terletak di Tebrau.

 

Firma penyelidikan itu menyatakan bahawa penjualan tanah tersebut tidak mengejutkan kerana pelupusan itu selaras dengan hala tuju S P Setia untuk mengoptimumkan dan mengimbangi semula simpanan tanahnya sambil mengekalkan struktur modal yang cekap.

 

Di samping itu, kumpulan tersebut menyasarkan untuk menurunkan penggearan bersihnya kepada 0.3 kali menjelang 2027.

 

 

BACA: Scientex cadang pengambilalihan tanah seluas 388 hektar bernilai RM547.7 juta di Tebrau

 

 

“Kami menaikkan unjuran pendapatan FY23, FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 76%, 5% dan 4% selepas mengambil kira: 1) keuntungan jualan tanah yang lebih tinggi (+90%) di Johor (akan diiktiraf pada 2023), 2) 500 ekar tanah jualan di Semenyih (untuk diiktiraf pada 2024) dan 3) perubahan dalam andaian pengebilan kemajuan,” kata Maybank IB dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Jelas firma itu, kejutan berlaku sekiranya penjualan tanah selanjutnya, di mana ia difahamkan bahawa S P Setia sedang berunding untuk satu lagi penjualan tanah di Lembah Klang.

 

Mengulas lanjut berkenaan penjualan tanah di Johor itu, firma itu berkata pelupusan tanah, yang dijangka diselesaikan antara suku keempat tahun ini dan suku kedua tahun depan, akan menghasilkan keuntungan pelupusan sebanyak RM438 juta.

 

Ini merupakan kali kedua S P Setia bercadang melupuskan tanah tersebut kepada Scientex namun pada harga yang lebih tinggi iaitu RM13.1 kaki persegi.

 

Sebelum ini pada pertengahan 2021, kedua-dua pihak pernah memeterai perjanjian untuk tanah yang sama pada harga RM12.4 kaki persegi, bagaimanapun, telah ditamatkan kerana tidak memenuhi syarat duluan berhubung dengan kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Ekonomi.

 

Maybank IB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada 73 sen sesaham.

 

Pada waktu penulisan, saham S P Setia telah menokok 0.5 sen atau 0.9% kepada 57 sen, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran bernilai RM2.3 bilion. - DagangNews.com