Maybank IB naikkan harga sasaran IJM Corp kepada RM2.14 dengan saranan 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB naikkan harga sasaran IJM Corp kepada RM2.14 dengan saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Julai - Maybank Investment Bank (IB) menyemak naik harga sasaran IJM Corp. Bhd. kepada RM2.14 daripada RM2.05 sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli'. 

 

Menurutnya, pemangkin kepada penilaian itu terutamanya didorong perolehan kontrak utama dan pengewangan aset yang positif, manakala ketidaktentuan harga bahan mentah memberi risiko kepada hasil. 

 

"Kami percaya buku pesanan pembinaan tertunggak sebanyak RM6.6 bilion dan jualan hartanah tidak dijelaskan serta aset konsesi yang berada dalam pemulihan selepas pandemik COVID-19 akan memberikan sokongan.

 

"Turut menyumbang kepada perkembangan positif ini termasuklah kedudukan lembaran imbangan yang kukuh meletakkannya dalam kedudukan yang mantap untuk menambah nilai kontrak utama bagi memacu pertumbuhan jangka panjang," katanya dalam nota kajian.

 

Kumpulan menyasarkan untuk memperoleh nilai kontrak sebanyak RM3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) lebih tinggi berbanding RM1.7 bilion yang diraih pada FY22.

 

Bagi segmen hartanah pula, ia menyasarkan jualan sebanyak RM1.8 bilion pada FY23, lebih rendah daripada RM2.5 bilion pada FY22 disebabkan permintaan yang mencabar di tengah-tengah normalisasi kadar faedah.

 

Selain itu, IJM Corp. juga akan meneruskan usaha pengewangan asetnya, dengan hartanah bernilai RM600 juta diperuntukkan. 

 

Setakat akhir Mac 2022, kumpulan mempunyai buku pesanan pembinaan tertunggak sebanyak RM4.3 bilion manakala jualan hartanah yang belum dijelaskan berjumlah RM2.3 bilion.

 

Aset konsesinya juga menunjukkan pemulihan, antaranya aktiviti Pelabuhan Kuantan akan kembali meningkat kepada paras sebelum pandemik setelah mengalami penurunan kargo sebanyak 15% pada FY22.

 

Sementara itu, trafik di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) juga melebihi paras sebelum pandemik manakala Lebuhraya Baru Pantai (NPE) berada pada paras sebelum pandemik, selepas kejatuhan mendadak pada FY21 sebanyak 36% di NPE dan 27% di BESRAYA.

 

Maybank IB berkata, dengan mengandaikan tahap penggearan bersih yang 'selesa' pada 0.5 kali, ia menganggarkan ruang utama hutang sebanyak RM2.6 bilion, membolehkannya mengambil alih RM17 bilion projek inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dengan mengandaikan 15% pembiayaan kontraktor.

 

"Ruang utama hutang ini juga akan membolehkan kumpulan melaksanakan strategi pertumbuhan jangka panjang melalui pengembangan aset infrastruktur dan meneroka usaha niaga baharu bagi melengkapi perniagaan terasnya.

 

"Selain itu, ia juga boleh berkembang di peringkat serantau dan melaksanakan langkah pengambilalihan dan penggabungan (M&A) yang strategik," katanya.

 

Setakat 12.30 tengah hari ini, harga saham IJM susut 1 sen atau 0.58% kepada RM1.70 dengan 260,800 saham diniagakan. - DagangNews.com