Maybank IB mulakan liputan terhadap Press Metal Aluminium dengan saranan 'beli', TP RM5.65 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB mulakan liputan terhadap Press Metal Aluminium dengan saranan 'beli', TP RM5.65

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) telah memulakan liputan terhadap Press Metal Aluminium Holdings Bhd (Press Metal) dengan saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) RM5.65.

 

Firma penyelidikan itu berkata kedudukannya sebagai pelebur aluminium terbesar di Asia Tenggara, terletak secara strategik berdekatan dengan bahan mentah dan mempunyai kelebihan kos tenaga ketara menerusi kemudahan kuasa hidronya di Sarawak adalah sifat kukuhnya.

 

“Digabungkan dengan unjuran harga aluminium mapan sebanyak AS$2,500 setiap tan disebabkan oleh permintaan bekalan yang berterusan, kami percaya ini boleh menambat kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan tiga tahun kami pada 12.9% tahun kewangan 2022 hingga 2025 (FY22-25),” katanya dalam nota hari ini.

 

Unjuran CAGR pendapatan tiga tahun itu, menurut firma itu, didorong oleh harga aluminium spot yang mampan sebanyak AS$2,500 setiap tan disokong bekalan ketat berpanjangan dan peningkatan jualan daripada produk nilai tambahannya.

 

Di samping itu, ia juga didorong oleh struktur kos yang bertambah baik susulan bekalan dalaman alumina lebih tinggi dan penurunan harga anod karbon serta aliran tunai bebas (FCF) yang kukuh untuk menurunkan tahap penggearan kepada 4% menjelang FY25.

 

Mengulas lanjut kelebihan kumpulan itu, Maybank IB berkata ia merupakan pengeluar aluminium di rantau ini memandangkan Press Metal mempunyai jumlah penyemperitan dan kapasiti pelaburan sebanyak 1.29 juta tan metrik setahun.

 

Selain itu, operasi peleburan berkuasa hidro sepenuhnya memberikan kelebihan kos tenaga berbanding pemain industri yang lebih besar, manakala pegangan strategiknya di Japan Alumina Associates dan PT Bintan juga menyediakan bekalan alumina lebih stabil dan murah.

 

Kos tenaga yang meningkat sejak separuh kedua tahun 2021 (2H21) telah mengakibatkan pengurangan keluaran aluminium, kebanyakannya di seluruh peleburan Kesatuan Eropah (EU) akibat penutupan berpanjangan.

 

Di samping itu, tindakan keras terhadap peleburan berkuasa arang batu China, berikutan negara itu beralih kepada tenaga lebih mampan, juga telah mengehadkan kemasukan bekalan.

 

Firma itu berpendapat isu-isu tersebut, digabungkan dengan pertumbuhan permintaan tahunan yang stabil sebanyak 3 hingga 4% untuk produk aluminium sepatutnya menyokong harga aluminium sebanyak kira-kira AS$2,500 setiap tan pada tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25).

 

“Aluminium juga merupakan komponen logam utama untuk kenderaan elektrik (EV), tenaga solar dan pembungkusan boleh dikitar semula, sekali gus memastikan peningkatan permintaan apabila produk mampan menjadi lebih berleluasa,” jelasnya. -DagangNews.com