KUALA LUMPUR 14 Mac - Maxis Bhd dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam program bagi mempercepatkan penerimagunaan 5G-Advanced (5.5G).
Maxis berkata, kerjasama itu merangkumi pelbagai bidang untuk memacu pengkomersialan dan penggunaan 5.5G, termasuk kes penggunaan, teknologi-teknologi utama, evolusi teknologi dan ekosistem.
Katanya, Maxis dan Huawei akan bekerja dengan penyedia-penyedia rumusan untuk mendorong aplikasi dan inovasi ekosistem 5.5G.
"Kedua-dua syarikat juga akan meneroka inisiatif bagi menggalakkan penggunaan serta pemindahan ke 5.5G. Selain itu, Maxis dan Huawei akan turut menampilkan kelebihan 5.5G hujung ke hujung melalui percubaan dan pengujian teknologi, termasuk kebolehsesuaian, keselamatan dan keteguhan.
"Pada masa sama, kedua-dua syarikat akan memanfaatkan cerapan rangkaian 5.5G untuk mengenal pasti peluang-peluang dalam rumusan dan pengoptimuman bisnes dibolehkan oleh 5G dan 5.5G untuk para pengguna serta perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Ini juga termasuk peluang untuk penggunaan teknologi-teknologi utama berkenaan dengan operasi digital, penghirisan rangkaian dan kemampuan rangkaian yang diprogram," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Terdahulu, MoU tersebut dimeterai di Mobile World Congress 2024 baru-baru ini, yang disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, pihaknya mengalu-alukan peluang untuk membangunkan rumusan yang memberi impak yang bermakna dengan memanfaatkan teknologi 5.5G.
"Ini termasuk peningkatan dalam kelajuan, kapasiti sambungan besar-besaran dan penambahbaikan dalam kependaman yang ditawarkan oleh 5.5G untuk menyediakan penyelesaian yang membawa faedah dan pengalaman pelanggan yang lebih baik," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun pula berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan pihak Maxis untuk memperluaskan peluang komersial 5.5G.
"Kerjasama ini akan memastikan Malaysia dikenali di persada global sebagai peneraju infrastruktur digital serantau dan turut membuktikan bahawa kemudahan digital dan persekitaran kondusif Malaysia adalah antara yang terbaik untuk menarik dan mengekalkan minat pelabur asing," katanya.
Menurut kenyataan itu, Maxis dan Huawei juga akan mengkaji evolusi spektrum dan teknologi masa depan berkenaan 5.5G dan memberi cadangan sejajar dengan kes bisnes dan kesediaan ekosistem.
Katanya, Langkah ini akan diselaraskan dengan polisi Kerajaan Malaysia agar dapat memupuk perkembangan 5.5G di dalam negara. - DagangNews.com








