LONDON 26 April - Syarikat pengeluar alat mainan terkemuka, Mattel memperkenalkan Barbie pertamanya dengan Sindrom Down dalam usaha untuk menjadikan rangkaian anak patung terkenalnya lebih inklusif.
Mattel dalam kenyataan berkata, pihaknya bekerjasama dengan Persatuan Sindrom Down Kebangsaan di Amerika Syarikat untuk membuat anak patung itu, yang mempunyai rangka lebih pendek dan badan lebih panjang daripada Barbie yang lain.
Katanya, wajah anak patung baharu itu juga berbentuk bulat, dan mempunyai mata berbentuk badam, telinga lebih kecil dan batang hidung yang rata.
"Tapak tangan anak patung itu juga termasuk satu baris, ciri yang sering dikaitkan dengan mereka yang mengalami Sindrom Down," katanya.
Mattel berkata, pakaian anak patung itu dihiasi dengan rama-rama dan bunga dalam warna kuning dan biru, warna yang dikaitkan dengan kesedaran Sindrom Down.
Anak patung itu juga memakai rantai merah jambu dengan tiga chevron ke atas mewakili tiga salinan kromosom ke-21 serta ortotik buku lali kaki merah jambu, lapor Reuters.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Global Barbie & Dolls Mattel, Lisa McKnight memaklumkan, matlamat pihaknya adalah untuk membolehkan semua kanak-kanak melihat diri mereka dalam Barbie, di samping menggalakkan kanak-kanak bermain dengan anak patung yang tidak kelihatan seperti diri mereka sendiri. - DagangNews.com








