MATTA Fair Perak 2023 sasar jualan RM23 juta, peluang pengunjung bertuah menang pelbagai hadiah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MATTA Fair Perak 2023 sasar jualan RM23 juta, peluang pengunjung bertuah menang pelbagai hadiah

MATTA Fair Perak 2023 menjangkakan kehadiran 20,000 pengunjung
Oleh Zaki Salleh

IPOH 9 Ogos - Jualan pakej pelancongan bernilai RM23 juta disasarkan pada MATTA Fair Perak 2023 yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Ipoh pada Sabtu dan Ahad ini.

 

Edisi penganjuran kali ke-31 itu menjangkakan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung untuk mendapatkan pelbagai produk pelancongan dari dalam dan luar Perak.

 

Sebanyak 100 ruang pameran disediakan bagi mempromosikan produk-produk pelancongan berkaitan.

 

Pengerusi penganjur, Wendy Shin berkata, acara selama dua hari itu disertai 29 penggiat industri pelancongan.

 

Pelbagai promosi dna pakej menarik ditawarkan
Pelbagai promosi dan pakej pelancongan menarik ditawarkan pada MATTA Fair Perak 2023.

 

“Terdapat banyak pilihan destinasi ditawarkan merangkumi tarikan budaya, warisan, alam semula jadi, taman negara, aktiviti air dan udara.

 

“Memandangkan banyak sempadan negara telah dibuka, maka lebih banyak pilihan destinasi dapat ditawarkan terutama ke Asia dan Eropah,” katanya.

 

Pameran pelancongan terbesar itu turut disertai Tourism Perak dan Tourism Pahang serta beberapa agensi pelancongan lain.

 

Menurut beliau, pameran ini akan menjadi penanda aras dalam usaha memulihkan kembali industri pelancongan di negeri Perak khususnya.

 

Matta

 

Katanya lagi, pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya RM300 pada pameran ini layak menyertai cabutan bertuah dan memenangi pelbagai hadiah menarik.

 

Pada penganjuran MATTA Fair di Kuala Lumpur Mac lalu, pelancongan Perak telah meraih sebanyak RM2 juta hasil jualan tiket produk pelancongan dan tempahan bilik hotel.

 

Nilai jualan itu menunjukkan potensi industri pelancongan Perak untuk dipilih sebagai destinasi percutian diminati. - DagangNews.com