Marrybown buka cawangan pertama di Melbourne, sasar tambah 30 lagi di seluruh Australia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Marrybown buka cawangan pertama di Melbourne, sasar tambah 30 lagi di seluruh Australia

(Dua dari kiri) Datuk Joshua Liew bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada majlis pelancaran cawangan Australia pertama untuk Marrybrown
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Mei - Marrybrown telah mencipta sejarah dengan pembukaan cawangan pertamanya di Australia, menjadikannya Restoran Perkhidmatan Pantas (QSR) halal tempatan pertama dibuka di negara itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown, Datuk Joshua Liew berkata syarikat itu meletakkan komitmen terhadap kualiti dan khidmat pelanggan dengan keputusan mereka untuk membuka restoran pertamanya di Burwood One Shopping Centre dalam kawasan subbandar Burwood.

 

Joshua berkata langkah ini dilihat akan memberikan manfaat kepada pembeli di kawasan tersebut yang kini mendapat akses dan menikmati pengalaman mencuba makanan gabungan perisa unik Malaysia dan Barat dengan keluarga dan kawan-kawan.

 

“Sebagai rantaian restoran perkhidmatan pantas utama di Malaysia, kami amat berbangga untuk mengembangkan kehadiran kami di Australia serta memaparkan citarasa Malaysia yang terbaik dan juga warisan masakan ke setiap pelusuk dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelancaran cawangan itu telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

 

Syarikat itu juga merancang untuk membuka dua cawangan, di mana satu akan dibuka di pusat bandar Melbourne CBD sebelum akhir tahun dan satu lagi terletak di Crown Casino.

 

Di samping itu, Marrybrown tekad mengembangkan perniagaan di setiap negeri di Australia dengan pembukaan 30 restoran pada masa akan datang.

 

“Perancangan kami untuk masa hadapan termasuk membina daripada kejayaan lokasi-lokasi kami di Melbourne dan mengembangkan perniagaan ke bandar-bandar lain di seluruh Australia, seperti Sydney dan Perth.

 

Kami percaya bahawa semua orang seharusnya mendapat akses ke makanan Halal yang berkualiti tinggi, dan kami komited untuk menyajikan makanan yang mampu beli dan lazat kepada para pelanggan kami,” tambahnya.

 

Marrybrown kini mempunyai lebih dari 500 restoran di 16 negara dengan objektif untuk memberikan standard kualiti, servis, kebersihan dan nilai tertinggi untuk pengalaman makan yang terunggul. -DagangNews.com