KUALA LUMPUR 15 April - Tentera pengaman Malaysia di Lebanon (Malbatt) telah menerima kenderaan perisai Panthera 4x4 bagi memperkasakan lagi penugasan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Sebanyak 20 buah kenderaan perisai ini diterima bagi menggantikan sebahagian daripada 39 kenderaan perisai pengangkut anggota (APC) Radpanzer Condor.
APC Radpanzer Condor ini telah berkhidmat di Lebanon sejak tahun 2007 iaitu semasa penghantaran kumpulan pertama Malbatt ke sana.
Kementerian Pertahanan (Mindef) sebelum ini membeli 20 buah kenderaan perisai Panthera 4x4 bernilai RM190 juta daripada syarikat Nurol Makina, Turkiye.
Panthera merupakan designasi tempatan untuk kenderaan Ejder Yalcin.
Kontrak yang dimeterai pada tahun 2021 ini juga menyaksikan peralihan baharu dalam pemilikan aset Tentera Darat apabila memilih Panthera yang diklasifikasikan sebagai kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV).
Berbeza dengan APC, HMLTV bersaiz lebih kompak tetapi mempunyai keupayaan serupa.
Apabila Tentera Darat mengumumkan untuk mendapatkan kenderaan perisai baharu jenis tersebut, beberapa syarikat luar negara dan tempatan bersaing untuk memenangi kontrak.
Dengan penerimaan 20 buah kenderaan Panthera 4x4 ini memberi petanda bahawa perolehan seterusnya untuk menggantikan kesemua APC Radpanzer Condor di Lebanon akan berjalan sepertimana dirancang.
Mindef juga telah diberi lampu hijau untuk perolehan 60 buah kenderaan HMLTV yang mana sebahagiannya akan dihantar ke Lebanon.
Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM400 juta, bagaimana pun proses perolehan ini dijangka memakan sedikit masa untuk dilaksanakan.
Difahamkan Tentera Darat telah mempunyai calon yang sesuai yang mana proses seterusnya dijangka dimuktamadkan bulan depan semasa Persidangan Pertahanan Asia (DSA) di Kuala Lumpur.
Pada tahun 2018, Malbatt menerima 9 buah kenderaan berperisai 4×4 IAG Guardian bagi menggantikan 9 buah kenderaan perisai Radpanzer Condor yang telah rosak.
Pembelian ini kemudian terpalit dengan kontroversi kerana tidak memenuhi spesifikasi seperti mana yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019.
Bagaimana pun, khidmat IAG Guardian dikekalkan di Lebanon. - DagangNews.com