Malaysian Genomics, UDH bentuk kerjasama dalam terapi genomik dan sel | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysian Genomics, UDH bentuk kerjasama dalam terapi genomik dan sel

KUALA LUMPUR 13 Julai - Pakar genomik dan biofarmaseutikal, Malaysian Genomics Resource Centre Bhd. menjalin kerjasama strategik dengan United Doctors Hospital (UDH) dalam terapi genomik dan sel.

 

Di bawah kerjasama ini, yang sah selama tiga tahun, Malaysian Genomics dan UDH akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menggalakkan dan mempromosi Kerjasama di dalam penjualan dan pemasaran ujian saringan genetik dan produk terapi sel, kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan bidang kerjasama lain dalam terapi genomik dan sel yang akan diputuskan bersama oleh kedua-dua pihak.

 

 

Azri Azerai
Azri Azerai

 

 

Pengarah Eksekutif Malaysian Genomics, Azri Azerai berkata, perkongsian strategik dengan UDH ini membolehkan kumpulan meluaskan jangkauan geografi produk dan perkhidmatan kami di luar Malaysia ke rantau Asia Barat dan Afrika Utara. 

 

"Ia juga membolehkan kami bekerjasama dalam R&D dengan pelbagai pakar domain untuk meningkatkan set ujian saringan genetik dan terapi sel kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

UDH, yang terletak di Jeddah, Arab Saudi, diakreditasi oleh Lembaga Pusat Akreditasi Institusi Penjagaan Kesihatan Arab Saudi. 

 

Kumpulan ini juga telah memenangi pelbagai anugerah untuk tanggungjawab sosial, termasuk Anugerah Raja Khalid untuk Tanggungjawab Sosial pada 2018, dan diperakui dengan SA8000, program pensijilan sosial terkemuka di dunia, oleh Social Accountability International (dahulunya dikenali sebagai Social Accountability Accreditation Services), sebuah pertubuhan amal yang berpangkalan di Amerika Syarikat, pada 2016.

 

Malaysian Genomics pula sedang giat mengembangkan saluran perniagaan kepada penggunanya sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan kumpulan. 

 

Kumpulan baru-baru ini memperoleh 51% kepentingan dalam syarikat pengendali dialisis buah pinggang Aquahealth Sdn Bhd untuk menawarkan penjagaan buah pinggang yang diperibadikan dan turut melibatkan pengurusan pemakanan, perubahan gaya hidup dan ujian genetik. 

 

Sementara itu, Doktor Perubatan di UDH, Dr. Hefny Moustafa Hefny berkata, antara bidang yang diteroka oleh Malaysian Genomics dan UDH ialah peluang untuk membangunkan ujian saringan genetik bagi keadaan keturunan dan penyakit yang berleluasa di Timur Tengah atau Afrika Utara, yang mungkin berbeza daripada bahagian lain di dunia. - DagangNews.com