KUALA LUMPUR 8 Julai – Pakar genomik dan biofarmaseutikal, Malaysian Genomics Resource Centre Bhd. bercadang untuk melaksanakan penempatan persendirian sehingga 10% daripada jumlah saham terbitannya atau sehingga 12.42 juta saham penempatan baharu pada harga terbitan yang akan ditentukan untuk pelabur pihak ketiga yang akan dikenal pasti kemudian.
Pengarah Eksekutif Malaysian Genomics, Azri Azerai berkata, cadangan penempatan persendirian itu dilaksanakan untuk mengumpul dana terutamanya untuk pelaburan masa depan kumpulan.
"Kumpulan masih meneroka pilihan dan sebahagian daripada hasil akan diperuntukkan untuk pembelian peralatan termasuk perkakasan IT, kabinet keselamatan biologi dan automasi pengekstrakan untuk perniagaan sedia ada dan akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) yang diadakan pada 30 November 2021, pemegang saham telah meluluskan cadangan kumpulan menerbitkan dan memperuntukkan saham baharu pada bila-bila masa dan pada harga yang dianggap sesuai oleh Lembaga Pengarah dengan syarat bilangan saham baharu tidak melebihi 10% daripada jumlah bilangan saham yang diterbitkan.
Saham penempatan baharu akan mendapat kedudukan yang sama dalam semua aspek dengan saham Malaysian Genomics sedia ada kecuali ia tidak akan berhak mendapat sebarang dividen, hak, peruntukan dan sebarang bentuk pengagihan lain sekiranya tarikh kelayakan mendahului tarikh peruntukan dan pengeluaran penempatan baharu yang berkaitan saham.
Menurut Azri, pembukaan semula ekonomi memberi peluang dalam segmen penjagaan kesihatan swasta dan dana baharu yang diperoleh akan membolehkan kami memanfaatkan kemungkinan itu.
"Kami mempelbagaikan perniagaan biofarmaseutikal pada 2020 dan sejak itu telah mendorong untuk membuka saluran bagi terapi sel dan ujian genetik kami melalui satu siri perjanjian yang memberi kami jangkauan pasaran yang lebih luas.
"Pada masa sama, kami juga membeli 51% kepentingan dalam syarikat pengendali dialisis buah pinggang, Aquahealth Sdn Bhd, untuk menawarkan penjagaan buah pinggang holistik," tambahnya.
UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd ialah penasihat dan ejen penempatan bagi cadangan penempatan persendirian. - DagangNews.com








