Malaysia rugi RM8.7 bilion setahun akibat gangguan rantaian bekalan - kajian TMX Global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia rugi RM8.7 bilion setahun akibat gangguan rantaian bekalan - kajian TMX Global

KUALA LUMPUR 21 Dis - Malaysia mengalami kerugian sehingga RM8.7 bilion setahun akibat gangguan rantaian bekalan berikutan pembukaan semula ekonomi, masalah buruh, perubahan iklim dan ketegangan geopolitik, demikian menurut agensi perundingan transformasi perniagaan, TMX Global.

 

Kerugian itu berdasarkan anggaran bahawa isu rantaian bekalan menyebabkan syarikat menanggung kos purata sebanyak 0.47% bagi hasil yang hilang di seluruh dunia.

 

"Dengan mengambil kira Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak RM1.851 trilion (AS$434 bilion), perniagaan di Malaysia kerugian lebih RM8.7 bilion setahun dalam jualan akibat masalah rantaian bekalan ini," jelas pengurus negara TMX Global bagi Malaysia dan Singapura, Greg O’Shea dalam kenyataan seperti dilapor TheEdge hari ini.

 

Menurutnya, sepanjang dua tahun kebelakangan ini, Malaysia bergelut dengan pelbagai gangguan terhadap rantaian perdagangan dan bekalan di tengah-tengah perubahan ekonomi dan politik seperti dasar COVID-19 di China, dan perang yang berpanjangan di Ukraine, dan turut mengalami masalah banjir di 108 kawasan pada tahun lalu.

 

Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada import bahan mentah bagi eksport pembuatan, ia bermakna pengeluaran barangan juga terjejas.

 

"Bagi perniagaan, gangguan sebegini (yang masih lagi berterusan), turut memberi kesan kepada aliran tunai dan keuntungan bersih syarikat," tambahnya.

 

Beliau berkata, gangguan rantaian bekalan telah memberi kesan ketara kepada pengeluar semikonduktor akibat kekurangan cip global yang belum pernah berlaku setakat ini sejak pertengahan 2020, dengan eksport menguncup sebanyak 1.8% pada suku keempat 2022.

 

Secara dasarnya, industri semikonduktor merupakan tunjang penting kepada ekonomi Malaysia, dengan 7% daripada perdagangan semikonduktor dunia adalah melalui negara ini.

 

Menurut O'Shea, di sebalik ramalan kelembapan pertumbuhan global tahun ini dan ketidaktentuan antarabangsa seperti kesan pembukaan semula China, perniagaan mesti memikirkan semula strategi rantaian bekalan mereka dan memberi tumpuan kepada usaha membina daya tahan rantaian bekalannya untuk bersedia menghadapi sebarang kejutan. 

 

"Tidak berbuat demikian adalah risiko kepada perniagaan dan ekonomi, seperti yang ditunjukkan oleh analisis kami," jelasnya.

 

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, pandemik dan krisis semikonduktor global membawa pengajaran utama untuk perniagaan dalam semua sektor - iaitu, adalah penting untuk mengguna pakai strategi rantaian bekalan jangka panjang yang mengoptimumkan keseluruhan rantaian nilai dan yang memanfaatkan penyelesaian inovatif.

 

"Lebih penting lagi, ia boleh memastikan kesinambungan perniagaan walaupun dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya. -DagangNews.com