Malaysia atasi sasaran potensi nilai perdagangan, pelaburan berjumlah RM70 bilion di Dubai - PM | DagangNews Skip to main content

Malaysia atasi sasaran potensi nilai perdagangan, pelaburan berjumlah RM70 bilion di Dubai - PM

DUBAI 30 Mac - Malaysia berjaya mengatasi sasaran potensi nilai perdagangan, pelaburan dan business leads berjumlah RM70 bilion secara keseluruhan bagi 26 program mingguan negara di Ekspo 2020 Dubai.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, nilai berkenaan diraih menerusi 131 Memorandum Persefahaman atau Perjanjian Perkongsian, dan pertanyaan perniagaan melibatkan 4,558 mesyuarat, termasuk potensi padanan perniagaan.

 

"Sukacita juga saya umumkan satu lagi pencapaian membanggakan Pavilion Malaysia sejak bermulanya penganjuran Ekspo 2020 Dubai sehingga semalam bersamaan 29 Mac 2022, Pavilion Malaysia telah menerima 1.1 juta pengunjung. Syabas diucapkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pavilion Malaysia telah menerima kunjungan lebih 130 delegasi peringkat tinggi antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat, Angola, Arab Saudi, Australia, Argentina, Kemboja, Filipina, Greece, Guinea, Hungary, India, Iran, Ireland, Kesatuan Eropah, Kosovo, Kuwait, Mexico, Maghribi, Montenegro, Myanmar, Namibia, Oman, Paraguay, Perancis, Rusia, Singapura, Slovakia, Slovenia, Syria, Sweden, Switzerland, Thailand, UAE, United Kingdom dan Vietnam.
 

Dalam meraikan kepelbagaian budaya, Pavilion Malaysia turut mengadakan pelbagai kerjasama kebudayaan termasuk Angola, Arab Saudi, Argentina, ASEAN Pavilion, Australia, Brazil, India, Kemboja, Myanmar, Poland, Thailand, Vietnam dan UK.

 

Ismail Sabri berkata, program itu juga telah memberi peluang kepada lebih 400 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di peringkat antarabangsa dan ia adalah peluang untuk mereka mengembangkan perniagaan serta meneroka peluang-peluang baharu di luar negara.

 

pm

 

"Untuk makluman, kerajaan menanggung kos yuran penyertaan semua PMKS ini di Ekspo 2020 Dubai, mereka hanya perlu membayar kos penginapan dan tiket kapal tebang sahaja.

 

"Ini membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu, menyokong dan memperkasa PMKS. Saya mahu lebih banyak PMKS dapat melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa yang mana boleh membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, seterusnya meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, beliau sudah menyaksikan majlis pemeteraian lima jalinan kerjasama hari ini, dua MOBE (Memorandum of Business Exploration) dan satu LOI (Surat Niat) melibatkan syarikat Malaysia dan rakan perniagaan asing.

 

Beliau menzahirkan rasa bangga kerana Malaysiatelah  mengadakan libat urus dengan ramai rakan kongsi yang bersedia untuk bersama dalam mewujudkan dunia yang lebih baik. 

 

"Saya yakin hubungan yang dibangunkan di sini akan membawa kepada pelbagai potensi baharu dalam pemulihan global yang berterusan dan pertumbuhan yang mampan," katanya. - DagangNews.com