Malaysia Airlines mulakan penerbangan pertama KL ke Amritsar, Trivandrum | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Airlines mulakan penerbangan pertama KL ke Amritsar, Trivandrum

Gambar Facebook Malaysia Airlines
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov - Malaysia Airlines meraikan penerbangan sulungnya antara Kuala Lumpur ke Amritsar dan Trivandrum di India dengan acara pelepasan yang diadakan di Terminal 1 KLIA, baru-baru ini.


 
Penerbangan MH118 menuju Amritsar berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 6.50 petang waktu tempatan, manakala penerbangan MH116 berlepas ke Trivandrum dari Kuala Lumpur pada 9.30 malam waktu tempatan.

 

Kedua-dua penerbangan disambut dengan pancuran air ketika mendarat di lapangan terbang berkenaan, yang dikendalikan pesawat Boeing 737-800 NG.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, Malaysia Airlines sangat mementingkan pasaran di India, memandangkan ia adalah asas kepada visi strategik pihaknya. 

 

"Bagi Amritsar dan Trivandrum, kami dengan bangganya memegang anugerah sebagai syarikat penerbangan premium perkhidmatan penuh pertama yang menawarkan penerbangan ke Asia Selatan dan Pasifik. 

 

"Peluasan laluan kami ke India melangkaui ketersambungan semata-mata, kerana usaha ini menghasilkan pelbagai hasil positif, daripada memacu pertumbuhan ekonomi, kepada meningkatkan pelancongan, memupuk pertukaran budaya dan memudahkan kerjasama global," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.


 
Pengenalan dua laluan baharu memperluaskan sambungan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur-India kepada lapan hab utama, termasuk New Delhi, Bengaluru, Mumbai, Chennai, Hyderabad dan Kochi. 

 

 

malaysia airlines
(Dari kiri) Ketua Jualan Global MAG, Syazwan Ahmad Sabri; Ketua Pegawai Komersial MAG, Dersenish Aresandiran, Ahmad Luqman Mohd Azmi, Setiausaha Kedua (Konsular, Pasport & Visa) Suruhanjaya Tinggi India, Aditya Fotedar dan Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines, Kapten Nasaruddin A Bakar.

 

 

malaysia airlines
Ahmad Luqman Mohd Azmi menyampaikan cenderahati kepada penumpang ketika majlis meraikan penerbangan sulung Malaysia Airlines ke Amritsar dan Trivandrum, baru-baru ini.

 

 

Malaysia Airlines kekal berdedikasi untuk meningkatkan ketersambungan dan akan memulakan operasi ke Ahmedebad pada Disember tahun ini. - DagangNews.com