Malakoff, ITOCHU jalankan kajian kebolehlaksanaan nyahkarbon di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff, ITOCHU jalankan kajian kebolehlaksanaan nyahkarbon di Johor

KUALA LUMPUR 25 April - Malakoff Corp. Bhd. dan firma Jepun, ITOCHU Corp. memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan mengenai penyahkarbonan melalui penggunaan hidrogen/ammonia di Johor.

 

Perjanjian itu ditandatangani sempena Mesyuarat Menteri Kerjasama Pertumbuhan Hijau Asia 2022 Forum Awam-Swasta yang dihoskan oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun (METI).

 

 

malakoff
Anwar Syahrin Abdul Ajib (kiri) bersama wakil  ITOCHU dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak hari ini.

 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, kerjasama dengan ITOCHU, salah satu daripada syarikat bersepadu global terbesar, adalah bukti komitmen Malakoff terhadap Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sejajar dengan transformasi kumpulan ke arah menjadi organisasi kelestarian.

 

Katanya, MoU itu menandakan peristiwa penting ketika kumpulan memulakan perjalanan ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.

 

"Kerjasama ini menunjukkan usaha kami ke arah memerangi perubahan iklim melalui pelan tindakan yang dipacu kemampanan dengan mengurangkan pelepasan karbon dan peralihan kepada masa depan tenaga yang lebih bersih.

 

"Malah, kajian kebolehlaksanaan ini akan menjadi langkah pertama ke arah potensi penggunaan hidrogen/ammonia untuk mewujudkan masyarakat ternyahkarbon selaras dengan ikrar Malaysia untuk muncul negara neutral karbon menjelang 2050 dan sempena Inisiatif Peralihan Tenaga Asia yang disokong oleh METI," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Objektif MoU ini adalah untuk merekodkan persefahaman antara Malakoff dan ITOCHU berhubung pembangunan terminal penerima ammonia dan penyahkarbonan loji janakuasa arang batu yang dimiliki oleh Malakoff melalui pembakaran bersama ammonia.

 

Selain itu, ia juga membabitkan pembangunan kitaran gabungan baharu loji janakuasa turbin gas menggunakan bahan api kandungan hidrogen tinggi, tertakluk kepada hasil kajian kebolehlaksanaan ini dan perbincangan lanjut antara kedua-dua pihak.

 

Tapak kajian ini akan terletak di Selat Johor yang penting untuk pengangkutan marin, menghasilkan potensi besar untuk pembangunan terminal penerima ammonia untuk penggunaan bersama/hidrogen serta peluang untuk bunkering dan bekalan ke kompleks perindustrian berdekatan. - DagangNews.com