KUALA LUMPUR 28 Feb - Sekretariat Mahasiswa di bawah Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) akan ditubuhkan dalam masa terdekat sebagai barisan pelajar hadapan yang menguruskan aktiviti dan program kebudayaan serta kesenian universiti-universiti awam.
Pengerusi MAKUM, Prof Dr Arifin Abdu berkata, pemimpin pelajar yang menghadiri Bengkel Pemerkasaan Mahasiswa sempena Mesyuarat MAKUM ke-106 diberi peranan untuk menubuhkan sekretariat tersebut dengan memberi lebih banyak tanggungjawab dan ruang kepada pemimpin pelajar membuat keputusan.
Beliau berkata, Sekretariat Mahasiswa MAKUM merancang beberapa program kebudayaan berimpak tinggi yang selari dengan konsep membangun Malaysia MADANI ke arah penyatuan bangsa Malaysia yang mempunyai nilai budaya dan pemikiran.
“Antara perancangan adalah menjadikan dikir barat, zapin dan kuda kepang sebagai muzik intrumentasi bagi kanak-kanak 'sindrom down' di Malaysia, Jepun, Korea dan beberapa negara lain.
"Selain itu, program berimpak tinggi Perkampungan Budaya peringkat kebangsaan anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dan MAKUM juga akan dilaksanakan,” katanya.
Arifin berkata, penubuhan sekretariat itu sejajar dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk melahirkan pelajar holistik, bijak dan berkemahiran tinggi dalam menentukan hala tuju MAKUM.
Katanya, Mohamed Khaled juga berhasrat agar universiti mendedahkan pelajar kepada lebih banyak peranan dan amanah serta mendapat pendidikan yang terbaik melalui pendedahan dan penguasaan ilmu.

Arifin yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, mesyuarat turut memfokuskan kepada perancangan, agenda dan hala tuju baharu yang bersandarkan kepada 11 Aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik Kementerian Pendidikan Tinggi, Hirman Awang pula berkata, MAKUM ialah majlis pertama universiti awam yang melibatkan pelajar dalam mesyuarat dan bengkel untuk merangka serta melaksana aktiviti berimpak peringkat nasional dan antarabangsa.

Katanya, MAKUM menekankan Inovasi Sosial dan Keusahawanan Sosial dengan melibatkan pemain industri dalam memperkasa kebudayaan bangsa dalam dan luar negara.
“Program pengantarabangsaan kebudayaan untuk membawa nama Malaysia juga menjadi agenda utama wakil Majlis Perwakilan Pelajar dan Penggiat Seni Pelajar dari 20 buah universiti awam dalam Mesyuarat MAKUM,” katanya.
MAKUM yang ditubuhkan pada 1993 ialah organisasi di bawah Jawatankuasa Sekretariat Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Timbalan-Timbalan Reaktor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) 20 universiti awam untuk menangani hal ehwal kebudayaan universiti. - DagangNews.com








