Majlis Perbandaran Taiping rangkul Anugerah Bandar Mampan 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Majlis Perbandaran Taiping rangkul Anugerah Bandar Mampan 2023

Taman Tasik Taiping - Gambar JOHARDY IBRAHIM
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) merangkul Anugerah Bandar Mampan 2023 sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2023 (HPBS2023) peringkat negeri Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Iskandar, baru-baru ini.

 

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, sambutan itu adalah bagi menghargai sumbangan profesion perancang bandar.

 

"Ia merupakan penghargaan kepada mereka yang sentiasa memastikan agenda dan perancangan pembangunan Kerajaan Negeri Perak dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan sosioekonomi rakyat dan aspek pemeliharaan alam sekitar," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat penuh pihak berkuasa tempatan itu di Wisma Perbandaran Taiping hari ini.

 

Sementara itu, Khairul Amir berkata, Zoo Taiping & Night Safari memperkenalkan pelbagai spesies binatang baharu untuk menarik perhatian pengunjung. 

 

Beliau berkata, dengan kehadiran berbagai jenis burung dan mamalia yang unik, ia dapat meningkatkan pengalaman melawat zoo untuk memenuhi kehendak pengunjung pelbagai peringkat umur. 

 

 

mpt
MPT merangkul Anugerah Bandar Mampan 2023 sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2023 peringkat negeri Perak, baru-baru ini.

 

 

mpt
Muzium Taiping

 

 

Katanya, antara tarikan terbaru Zoo Taiping adalah sepasang Striped Skunk, dua pasang burung Violet Turaco, dua pasang Itik Mandarin, dua pasang Itik Carolina, tiga pasang Ringed Teal, sepasang Kuang Emas, sepasang Kuang Lady Amherst’s dan lima pasang Gouldian Finch.

 

 

mpt

 

 

mpt

 

 

"Dengan tambahan tarikan baharu, Zoo Taiping akan terus menjadi destinasi pilihan bagi keluarga pada musim sekolah yang akan datang," katanya. - DagangNews.com