KUALA LUMPUR 7 Feb - Para majikan digalak meneruskan dasar amalan Bekerja Dari Rumah (BDR) dan sistem penggiliran kehadiran ke pejabat dalam usaha mengekang penularan Omicron.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, langkah ini bagi mengawal kenaikan mendadak Omicron bagi mewujudkan persekitaran selamat, pada masa sama mengimbangi kesihatan awam dan pemulihan ekonomi.
Katanya, buat masa ini majikan dan pekerja turut dinasihat mengelakkan perjumpaan atau mesyuarat secara bersemuka.
"Kita juga menasihatkan majikan dan syarikat untuk membantu pekerja-pekerja melakukan ujian saringan terutama bila bergejala. Mungkin pekerja sukar mendapatkan kit ujian saringan, tolong bantu mereka. Dapatkan insentif pelitup muka berkualiti tinggi untuk mereka.
"Saya rayu kepada syarikat dan majikan, tolong dapatkan insentif daripada Kementerian Kewangan untuk ubah suai sistem pengudaraan. Ada insentif yang disediakan, ada potongan cukai bagi melaksanakan ubah suai pengudaraan mereka," katanya dalam sidang akhbar khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, kes COVID-19 hari ini mencatatkan sebanyak 11,034 kes dan KKM menjangkakan bakal mencecah lebih 20,000 kes menjelang hujung bulan depan jika kadar kebolehjangkitan (RT) virus itu kekal pada kadar 1.2. - DagangNews.com








