MAHB tegaskan tiada monopoli pengendali kemudahan kesihatan swasta untuk ujian COVID-19 di lapangan terbang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB tegaskan tiada monopoli pengendali kemudahan kesihatan swasta untuk ujian COVID-19 di lapangan terbang

KUALA LUMPUR 8 April - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menegaskan bahawa tiada monopoli oleh pengendali kemudahan kesihatan swasta dalam menyediakan perkhidmatan ujian saringan COVID-19 di lapangan terbang yang dikendalikannya.

 

MAHB berkata, dakwaan berkenaan juga adalah tidak berasas dan ujian berkenaan bukan sesuatu yang wajib dilakukan sebaik sahaja pengembara tiba di lapangan terbang antarabangsa negara ini.

 

Katanya, kemudahan berkenaan disediakan bagi pengembara yang mahu menjalankan ujian pengesanan COVID-19 sebaik tiba di Malaysia.

"Terdapat empat operator fasiliti perubatan swasta berlainan yang menyediakan perkhidmatan di empat lapangan terbang iaitu BP Clinical Lab Sdn. Bhd. untuk untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); Edgenta UEMS Sdn. Bhd. di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulang Pinang; MYEG Services Sdn. Bhd. di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Gribbles Pathology (M) Sdn. Bhd. di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MAHB berkata, berlaku kekeliruan membabitkan keperluan untuk melakukan ujian pengesanan RTK-Ag di lapangan terbang sebaik pengembara tiba di Malaysia, susulan beberapa laporan media berhubung perkara itu baru-baru ini.

 

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) pembukaan semula sempadan menetapkan bahawa pengembara antarabangsa hanya perlu menjalani ujian RTK-Ag dalam tempoh 24 jam sebaik tiba di Malaysia, di mana-mana pusat kesihatan swasta termasuk klinik dan hospital pilihan masing-masing.

 

"Kerajaan kemudian mengumumkan pengecualian ujian pengesanan pada ketibaan oleh pengembara antara Malaysia dan Singapura bagi mereka yang sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing, iaitu sebahagian daripada protokol keselamatan khusus antara kedua-dua negara.

 

"Sejak pembukaan semula sempadan dan amalan SOP sebelum berlepas dan ketibaan untuk pengembara ke Malaysia, proses kemasukan penumpang di lapangan terbang antarabangsa negara bertambah baik dengan ketara dari segi kecepatan dan kecekapan," katanya. - DagangNews.com