Macau Scam semakin berleluasa, perlu dibanteras segera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Macau Scam semakin berleluasa, perlu dibanteras segera

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 April - Parti Pejuang Tanahair memandang serius isu jenayah ‘Macau Scam’ yang semakin berleluasa setiap tahun di seluruh negara dan perlu dibanteras dengan segera.

 

Ahli Majlis Eksekutif Pusatnya, Armin Baniaz Pahamin berkata, kes meningkat sebanyak 336% berbanding tahun sebelumnya, melibatkan kerugian kira-kira RM4.56 juta bagi tempoh Januari hingga 21 April 2022 di Negeri Sembilan, manakala di Johor pula kes meningkat dengan ketara pada tahun ini berbanding tahun lalu melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM9.5 juta setakat 18 April 2022.

 

Beliau berkata, jenayah scam juga semakin rancak di platform e-dagang yang mana kes penipuan dalam talian di Kelantan merekodkan peningkatan mendadak iaitu sebanyak 309 kes dengan jumlah kerugian RM1.44 juta dicatatkan pada 2021 berbanding 229 kes serta kerugian lebih RM800,000 pada tahun sebelumnya.

 

Jelasnya, kes penipuan kerja sambilan dalam talian pula mencatatkan 51 kes dengan jumlah kerugian lebih RM650,000 berbanding sifar kes pada 2020.

 

"Modus operandi Macau Scam kebiasaannya dengan menyamar sebagai anggota polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri atau sebagai kakitangan kerajaan, selain mendakwa orang yang dihubungi mempunyai kes dengan jabatan tertentu sebelum meminta butir-butir dan maklumat daripada mangsa.

 

"Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, sebanyak 5,848 kes penipuan e-dagang dilaporkan sepanjang tahun 2020 di seluruh negara membabitkan kerugian kepada mangsa lebih RM41 juta. 

 

"Jumlah kes jenayah ini meningkat hampir 80% berbanding 3,511 kes direkodkan sepanjang tahun 2019 dengan kerugian sebanyak RM28 juta," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut beliau, operasi scammer bukan sahaja menipu dan mencuri wang rakyat tetapi ia juga terbabit dalam pemerdagangan manusia. 

 

"Ramai rakyat Malaysia telah ditipu dengan berbagai bentuk pekerjaan di luar negara dengan gaji yang lumayan tetapi akhirnya dipaksa bekerja di gedung scammer (tempat operasi scammer). Ekosistem operasi scammer bukan sahaja merosakkan ekonomi rakyat tetapi juga membantut ekonomi negara dan harus dibanteras dengan kadar segera," katanya.

 

Katanya, pihaknya menggesa kerajaan menggunakan teknologi 'jejak dan kesan' terkini untuk mengesan dan membasmi operasi scam. - DagangNews.com