KUALA LUMPUR 11 Jan - Lululemon melancarkan kedai jenamanya, eksklusif di Lazada sekaligus menandakan kerjasama e-dagang buat kali pertama di Asia dalam usaha memperkukuhkan lagi aspirasi jenama itu mencipta platform jualan lebih meluas berpandukan strategi pertumbuhan Power of Three x2.
Jenama ini akan memberikan tumpuan bagi mewujudkan dan memperkukuhkan hubungan serta sentuhan tempatan disamping memperkenalkannya kepada lebih banyak komuniti di seluruh dunia sama ada menerusi capaian fizikal mahupun digital.
Kerjasama Lululemon bersama Lazada membolehkan lebih ramai pelanggan di rantau ini untuk mendapatkan akses terus kepada inovasi produk Lululemon dan membolehkan jenama ini untuk terus memacu pertumbuhan digitalnya.
Naib Presiden Kanan Asia Pasifik Lululemon, Gareth Pope berkata, ruangan digital serta pengalaman pelanggan merupakan antara komponen penting dalam perniagaan mereka.
“Kami menyambut baik peluang untuk berhubung bersama pelanggan di Asia Tenggara menerusi Lazada dan terus menerokai lebih banyak cara bagi berhubung bersama pelanggan menerusi pelbagai inisiatif seperti penstriman langsung secara interaktif di platform e-dagang ini.
"Kerjasama e-dagang pertama di Asia ini menandakan langkah utama dalam pelaksanaan strategi pertumbuhan Power of Three x2 secara meluas di Asia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Naib Presiden Eksekutif Akaun Strategik Serantau Kumpulan Lazada, Pierre Beckers berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi rakan kongsi pilihan Lululemon dalam usaha mereka mengembangkan jejak digital di Asia Tenggara.

Beliau berkata, permintaan pelanggan untuk rangkaian pakaian atletik akan tetap meningkat, selari dengan peningkatan aktiviti membeli-belah dalam talian yang kian berkembang sejak beberapa tahun lalu.
"Lazada akan terus komited untuk bekerjasama bersama rakan-rakan jenama kami bagi memberikan pelanggan pengalaman jenama yang bergaya, tulen yang disukai pengguna melalui LazMall," katanya.
Sementara itu, Lululemon melancarkan kempen baharu, 'Progress Your Way' bagi menggalakkan orang ramai untuk terus menjadikan 2023 sebagai tahun yang terbaik buat diri mereka.
Sempena Super Brand Opening rasmi Lazmall pada 12 Januari 2023 di Malaysia, para pelanggan berpeluang untuk menikmati potongan harga terhad bagi rangkaian produk yoga, latihan dan larian Lululemon di Lazada.
Lululemon bakal menawarkan diskaun sebanyak 10% bagi pembelian pertama kepada pelanggan yang mengikuti kedai flagship LazMall jenamanya di platform Lazada Malaysia dan Singapura. - DagangNews.com








