TAIPING 30 Jan - Dua lukisan mural dengan paparan teknologi 'augmented reality' (AR) bakal menjadi satu lagi tarikan baharu di Bandar Warisan Taiping.
Ia akan menghiasi bangunan di Jalan Sultan Mansor dan Zoo Taiping & Safari Malam.
Lukisan ini juga menambahkan lagi koleksi mural sedia ada di bandar warisan tersebut yang dikenali Taiping Heritage Art Trail sekali gus mengangkat imej pelancongan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, teknologi AR-Mural ini juga dijangka mampu memberi keunikan dan keistimewaan tersendiri.
Menurut beliau, AR adalah gabungan digital interaktif iaitu gambar, bunyi, animasi, model 3D serta elemen interaktif.
"Projek Taiping Heritage Art Trail ini dikelolakan oleh Syarikat Graffite Management bersempena ulang tahun ke-150 Taiping yang disambut tahun hadapan.
"Kos kerja ini menerusi geran dari Arts For All Seasons (ArtsFAS) yang ditaja dan disalurkan oleh Yayasan Hasanah," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beliau bersama Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari merasmikan pelancaran Taiping Heritage Art Trail di Zoo Taiping, semalam.
Koperasi Keluarga Halimah-Hussin Berhad (K2H2B) dan syarikat pengeluar car sembur Zebra PRO juga memainkan peranan membantu melancarkan projek ini.
Seramai tiga orang artis tempatan yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang berkenaan akan terlibat menghasilkan seni mural ini.

Jelas Khairul Amir, sehingga kini bandar Taiping mempunyai sembilan mural yang bertemakan Bandar Warisan.
Antaranya mural UV Light di Galeri Perbandaran Taiping, mural posmen di persimpangan Jalan Taming Sari dan Jalan Manekshah, mural Keretapi Tanah Melayu di persimpangan Jalan Berek dan mural permainan tradisional di belakang Restoran Nafis.
"Seni mural semakin mendapat perhatian di Malaysia kerana mampu memberikan kesan positif untuk menaikkan nama sesuatu kawasan atau syarikat," ujarnya. - DagangNews.com








