LPPKN, Kotex bentuk kerjasama strategik bantu tangani isu kemiskinan haid | DagangNews Skip to main content

LPPKN, Kotex bentuk kerjasama strategik bantu tangani isu kemiskinan haid

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Jun - Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Kotex membentuk kerjasama strategik bagi program KIT SERI sebagai langkah proaktif menangani isu kemiskinan haid di Malaysia. 

 

Kerjasama tersebut akan meliputi dua aspek utama iaitu pendidikan kebersihan haid dalam kalangan remaja wanita dan bekalan tuala wanita kepada kumpulan rentan terdiri daripada 130,000 pelajar perempuan daripada golongan B40 yang telah dikenalpasti.

 

Kemiskinan haid merujuk kepada ketidakmampuan membeli produk kebersihan wanita serta kekurangan pemahaman mengenai cara mengurus haid itu sendiri. 

 

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah berkata, kemiskinan haid sering dirujuk kepada kekurangan akses kepada tuala wanita tetapi hakikatnya, isu tersebut mempunyai kesan yang jauh lebih besar.

 

“Kemiskinan haid boleh mengakibatkan keciciran murid perempuan di sekolah, kesihatan mental terjejas dan lain-lain yang berkaitan dengan haid. 

 

"Justeru, pengumuman mengenai perkara ini di dalam pembentangan Bajet 2022 iaitu kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi bekalan tuala wanita kepada 130,000 pelajar kalangan isi rumah B40 harus selari dengan peningkatan pendidikan dan kesedaran terhadap pengurusan kebersihan haid kalangan remaja wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sehubungan itu, Kotex dan LPPKN akan berganding bahu dengan guru dari 1,124 sekolah di seluruh negara untuk menyampaikan ceramah mengenai pengurusan haid, kebersihan haid serta mengenai kesihatan reproduktif wanita. Lebih 500 guru telah menyertai sesi latihan tersebut sehingga kini.

 

 

lppkn
Abdul Shukur Abdullah

 

 

Menurut Abdul Shukur, pemahaman yang betul tentang akil baligh serta penggunaan dan pembuangan tuala wanita akan dapat membantu remaja meneruskan gaya hidup remaja yang normal tanpa perasaan rendah diri.  

 

"Selain itu, sistem sokongan terutama daripada para guru, rakan sebaya dan ahli keluarga juga akan membantu mengurangkan risiko kesihatan mental," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kimberly-Clark Malaysia, Rahul Asthana berkata, Kimberly-Clark dan Kotex amat mengalu-alukan langkah penggubal dasar Malaysia dalam usahanya untuk membuat pengubahan struktur dalam masyarakat Malaysia dan membasmi kemiskinan haid di negara ini.

 

 

kotex
Rahul Asthana

 

 

“Kerjasama strategik bersama LPPKN melalui program KIT SERI ini merupakan peluang keemasan Kotex untuk bersama-sama terlibat dalam program pendidikan kebersihan diri kepada kumpulan rentan selain memberi impak positif yang lebih besar kepada remaja-remaja perempuan untuk masa yang akan datang. 

 

"Kotex telah memperjuangkan kemajuan wanita di seluruh dunia sepanjang 20 tahun yang lalu dan Kotex telah berjaya memperkasakan kira-kira 1 juta wanita Malaysia melalui pelbagai program pendidikan kebersihan haid dan program tanggungjawab sosial korporat bersama sekolah, universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya. - DagangNews.com