Loji solar terbesar Sabah mula beroperasi menjelang akhir November 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Loji solar terbesar Sabah mula beroperasi menjelang akhir November 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov - Loji solar berskala besar (LSS) 10MWac pertama Sabah dijadualkan mula beroperasi pada akhir bulan ini, sekali gus mengurangkan catuan bekalan elektrik beberapa kawasan di negeri ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Mohd Yaakob Jaafar berkata, kerjasama dengan SDK Power Sdn Bhd (SPSB) ini merupakan perkembangan penting bagi tenaga hijau dan boleh diperbaharui di negeri ini.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata pembangunan loji LSS ini meliputi kira-kira 16 hektar dan kemudahan itu akan menempatkan 24,672 panel solar, secara kolektif memanfaatkan kuasa matahari untuk menjana 10MWac elektrik bersih.

 

Ini akan meningkatkan margin rizab grid Sabah, yang kini berada pada 12.1%, katanya.

 

 

Mohd Yaakob Jaafar
                  Mohd Yaakob Jaafar

 

 

"SESB memahami keadaan mendesak dan loji tenaga solar ini akan membantu menangani masalah catuan bekalan yang kerap disebabkan kekurangan kapasiti penjanaan grid.

 

"Ini akan meningkatkan margin rizab grid kami semasa waktu beban puncak," kata Mohd Yaakob.

 

Menurut beliau, SPSB adalah antara 10 syarikat pembida di bawah skim LSS1 dan LSS2 yang dianugerahkan kontrak dan menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) dengan SESB pada Ogos 2021.

 

Beliau berkata, sembilan lagi syarikat yang dilantik sebagai pemaju LLS1 dan LLS2 juga akan mengoperasikan loji solar masing-masing bagi membantu menambah bekalan tenaga ke grid Sabah secara berperingkat sehingga Jun 2024. - DagangNews.com