Loji janakuasa solar Cypark di Merchang peluang besar bagi Terengganu jadi perintis industri RE - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Loji janakuasa solar Cypark di Merchang peluang besar bagi Terengganu jadi perintis industri RE - MIDF Research

Loji janakuasa solar hibrid 100 MW Cypark di Merchang, Marang. -Gambar FB Anwar Ibrahim
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Julai - Projek Loji Janakuasa Solar Hibrid Berskala Besar 3 (LSS3) 100-MW Cypark Resources Berhad di Merchang merupakan peluang yang baik untuk Terengganu menjadi perintis dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) sambil menyokong industri lain termasuk teknologi baru muncul dan bahan kimia khusus.

 

MIDF Research berkata, projek Cypark di Merchang itu berpotensi untuk meningkatkan ekonomi negeri dalam jangka pertengahan hingga panjang, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Diperbaharui (MyRER) Malaysia.

 

"Projek tenaga solar Cypark adalah sebahagian daripada inisiatif negeri dalam bidang RE dan dijangka menjana pendapatan tambahan bagi negara dan menarik lebih banyak pelaburan ke Terengganu.

 

 

"Kami amat percaya dengan pelancaran loji tenaga solar Cypark, terdapat peluang untuk pelaburan masa depan di negeri tersebut termasuk dalam industri hiliran Lembah Silika di Merchang, Marang, Terengganu Tech Hub untuk teknologi baru muncul di Telaga Papan, Setiu, Taman Biopolimer Kerteh untuk bioekonomi dan bahan kimia khusus di Kemaman dan Loji Tenaga Hidro Mini di Sungai La, Besut," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Loji janakuasa solar hibrid Cypark di Merchang itu dilancarkan semalam dengan perasmiannya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

 

Loji tersebut terdiri daripada kombinasi 35MW solar terapung dan 65MW solar atas tanah yang merupakan pemasangan solar hibrid terbesar di Malaysia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Cypark hasilkan 100MW tenaga boleh diperbaharui dari loji janakuasa solar hibrid di Merchang, Terengganu

 

anwa
Anwar Ibrahim dan Fadillah Yusof pada majlis pelancaran Loji Janakuasa Solar Hybrid Cypark di Merchang, Terengganu semalam.-Gambar FB Anwar Ibrahim

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, pemenang untuk projek ini adalah Cypark, syarikat tersenarai awam di Papan Utama Bursa Malaysia sejak tahun 2009.

 

"Mereka merupakan pemaju dan penyedia terunggul dalam RE bersepadu, teknologi hijau, penyelesaian kejuruteraan alam sekitar dan kejuruteraan pembinaan.

 

"Secara signifikan, Cypark telah membuat langkah besar dalam mengurangkan pelepasan setaraf karbon dioksida (CO₂eq), menghasilkan RE dan menguruskan sisa.

 

"Komitmen Cypark terhadap kelestarian menjadikan mereka pemain penting dalam landskap alam sekitar dan tenaga Malaysia," jelasnya.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu menekankan mengenasi dasar alam sekitar yang mesti diutamakan. 

 

Katanya, solar diketahui memerlukan kawasan luas yang berpotensi menjejaskan habitat semula jadi dan tanah pertanian, seterusnya menyebabkan hakisan tanah.

 

"Solar terapung mengurangkan risiko ini; juga mempunyai peningkatan kecekapan +12.5% ​​disebabkan oleh kesan penyejukan air dan potensi untuk mengurangkan alga toksik seperti di tasik.

 

"Walau bagaimanapun, kedua-dua jenis panel solar di darat dan terapung terdedah kepada menghalang cahaya matahari, yang akan menjejaskan tumbuh-tumbuhan dan tingkah laku haiwan kecil.

 

"Oleh itu, kami berpendapat dasar yang mematuhi kelestarian alam sekitar mesti dipastikan untuk memastikan tidak memudaratkan ekosistem dalam jangka masa panjang," katanya. - DagangNews.com