Lebihan bekalan ruang pejabat berterusan, AmInvestment jangka tiada pertambahan jumlah penyewaan bagi UOA REIT | DagangNews Skip to main content

Lebihan bekalan ruang pejabat berterusan, AmInvestment jangka tiada pertambahan jumlah penyewaan bagi UOA REIT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jan - AmInvestment Bank Research menjangkakan tiada pertambahan jumlah penyewaan bagi UOA Real Estate Investment Trust (UOA REIT) kesan daripada lebihan bekalan ruang pejabat berterusan.

 

Katanya, keadaan itu ditambah lagi dengan tekanan inflasi yang memberi kesan kepada jualan penyewa.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kadar penghunian yang lebih lemah di bangunan lama (berusia lebih 20 tahun) seperti di UOA Centre Parcels dan Wisma UOA Damansara diimbangi oleh penambahbaikan dalam bangunan baharu, termasuk Menara Korporat UOA dan Wisma UOA Damansara II.

"Menara Korporat UOA, penyumbang utama kepada UOA REIT (mengambil kira 46% daripada NPI (pendapatan harta bersih) pada FY23) mencapai penghunian yang luar biasa sebanyak 98% pada 4QFY23. 

 

"Kami menyedari bahawa sebahagian besar penyewa UOA REIT dengan pajakan tamat tempoh pada FY24 adalah daripada Menara Korporat UOA.

 

"Bagaimanapun, kami optimis terhadap terhadap prospek Menara Korporat UOA, didorong oleh status MSC dan lokasinya yang strategik di Bangsar South City," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pendapatan sewa bersih UOA REIT susut 11.77% kepada RM18.76 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023 (4QFY23) berbanding RM21.26 pada tahun sebelumnya kesan daripada sewa kasar lebih rendah dan perbelanjaan operasi hartanah lebih tinggi.

 

Perbelanjaan operasi meningkat disebabkan oleh kos elektrik yang lebih tinggi dan penyelenggaraan lif rutin yang berlaku setiap beberapa tahun.

 

Jumlah pendapatan UOA REIT turun 11.52% kepada RM18.94 juta berbanding RM21.41 juta pada 4QFY2022.

 

AmInvestment itu menyukai prospek jangka panjang UOA REIT disokong oleh hartanah yang terletak di kawasan yang bersambung dengan kejiranan melalui jambatan, lebuh raya utama dan pengangkutan awam selain campuran penyewa yang pelbagai yang boleh mengurangkan risiko semasa kegawatan ekonomi.

 

Katanya, ia juga mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam mengagihkan sekurang-kurangnya 95% daripada pendapatan bersih kepada pemegang unit dengan hasil pengagihan FY23 hingga FY25 yang kukuh sebanyak 7% dan suntikan aset berpotensi daripada UOA Development.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM1.23 sesaham," katanya. - DagangNews.com