KUALA LUMPUR 11 Mac - Pelaksanaan cukai menjadi kebimbangan utama syarikat Amerika Syarikat (AS) terhadap dasar masa depan di Malaysia dengan pengenalan cukai minimum global (GMT) pada 2025, kata Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM), Siobhan Das.
Berdasarkan Kaji Selidik Impak Ekonomi (EIS) 2022-2023, Siobhan mendedahkan bahawa pelaksanaan cukai merupakan kebimbangan teratas, hasil tinjauan melibatkan 81 syarikat ahli persatuan itu, yang mana 65 daripadanya adalah syarikat multinasional AS.
“Perniagaan tidak suka perubahan, mereka mahu merancang bukan sahaja setahun lebih awal tetapi lima, 10 tahun. Mereka ingin memahami rejim cukai di mana-mana negara yang mereka hendak beroperasi,” kata Siobhan ketika pelancaran EIS 2022-2023 hari ini yang turut dihadiri oleh bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Ong Kian Ming.
Dalam Bajet 2024, kerajaan telah mengumumkan ia bakal melaksanakan GMT pada 2025 dan dan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta euro.
Ong Kian Ming, yang kini merupakan ahli lembaga pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), berkata pihak MIDA mengambil maklum input relevan daripada syarikat-syarikat yang terkesan hasil perbincangan dengan mereka, yang kemudiannya akan disampaikan kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Bukan bidang kuasa saya untuk bercakap tentang butiran, tetapi saya hanya boleh mengatakan berdasarkan pendedahan saya di MIDA, kerajaan sebenarnya bekerja lebih cepat tahun ini untuk memastikan perkara-perkara di bawah Bajet 2024 yang penting kepada pelabur global sedang dibincangkan dan akan dilancarkan serta diumumkan kelak. Sebagai contoh, tarikh akhir pelaksanaan GMT disasarkan pada 1 Januari 2025,” katanya.
Dari sudut positif pula, Siobhan menyatakan bahawa Malaysia kekal destinasi pelaburan menarik dan berdaya saing bagi syarikat AS memandangkan negara ini mempunyai asas kukuh dan kumpulan bakat yang fasih berbahasa Inggeris serta mempunyai ekosistem rantaian bekalan yang utuh.
"Sebanyak 63% responden kaji selidik menjangkakan tinjauan positif terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia dan 63% responden juga bercadang untuk terus melabur dalam lima tahun akan datang," ujar beliau.
Hasil kaji selidik terkini AMCHAM itu menunjukkan responden menggaji 148,778 individu, dengan 89% terdiri daripada rakyat Malaysia melibatkan pembayaran gaji RM11.7 bilion, serta menyumbang kepada masa depan dan keselamatan pekerja dengan RM1.3 bilion dicarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Malaysia juga merupakan hab penting bagi pembuatan dengan 57% responden yang terbabit dalam pembuatan mempunyai operasi dihubungkan dengan negara ASEAN lain seperti Singapura, Thailand, dan Filipina. - DagangNews.com








