Larangan tembakau dan vape untungkan sindiket jenayah, beri kesan ekonomi negara - RTBA Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Larangan tembakau dan vape untungkan sindiket jenayah, beri kesan ekonomi negara - RTBA Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Julai - Advokasi Runcit dan Jenama Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia) menyatakan kebimbangannya mengenai kelulusan Kabinet terhadap larangan tembakau dan vape di negara ini pada sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

 

Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Datuk Fazli Nordin berkata, melaksanakan larangan menyeluruh dan mengambil hak warganegara akan menjejaskan perniagaan dan peruncit yang sah. 

 

Beliau berkata, RTBA Malaysia menentang keras larangan itu kerana ia bukan penyelesaian pragmatik untuk mengurangkan kelaziman merokok.

 

“Malah, larangan seperti ini hanya akan menguntungkan sindiket jenayah dengan menyemarakkan pasaran gelap, sama ada untuk tembakau atau vape. Sebaik sahaja mereka mengambil alih pasaran, kos sosio-ekonomi akan menjadi tidak munasabah melambung tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Fazli berkata, pasaran rokok haram sekarang pada kadar 58.4%, telah menyebabkan kerajaan kehilangan hasil cukai RM5 bilion. 

 

“Pengharaman akan menyebabkan angka ini meningkat. Larangan tambahan terhadap produk vape hanya akan mewujudkan aliran hasil baharu untuk sindiket jenayah, seterusnya memberi kesan kepada ekonomi Malaysia,” ujarnya.

 

Menurutnya, walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberi jaminan bahawa ia akan meningkatkan usaha penguatkuasaan, sejarah telah membuktikan usaha itu tidak berkesan. 

 

 

vape
Datuk Fazli Nordin

 

 

Sementara itu, Malaysian Vapers Alliance (MVA) kecewa dengan langkah kerajaan meluluskan larangan vape di negara ini, bersama-sama dengan tembakau dan produk lain.

 

Presiden MVA, Khairil Azizi Khairuddin berkata, tindakan kerajaan adalah salah untuk mengkategorikan vape dengan rokok tradisional, sedangkan terdapat bukti saintifik yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa produk ini berbeza sama sekali.

 

Katanya, bukti penyelidikan bebas di seluruh dunia menunjukkan bahawa walaupun vape mempunyai risiko, risiko tersebut jauh lebih rendah berbanding dengan merokok. 

 

 

vape
Khairil Azizi Khairuddin

 

 

"Vape juga telah berjaya membantu ramai perokok dalam berhenti merokok. Sungguh mengecewakan melihat kerajaan terus mengabaikan sains dan bukti-bukti yang ada.

 

“Dengan larangan itu, kerajaan mengambil hak vaper yang telah membuat pilihan untuk menggunakan produk yang terbukti kurang berbahaya. Dan lebih teruk, memaksa vaper beralih kepada produk yang tidak terkawal,” katanya. - DagangNews.com