Larangan Ahli Dewan Rakyat tukar parti pastikan kestabilan politik - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Larangan Ahli Dewan Rakyat tukar parti pastikan kestabilan politik - PM

KUALA LUMPUR 27 Julai - Kerajaan hari ini membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang bertujuan memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan krisis politik yang tiada berkesudahan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan  Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat hari ini berkata pindaan itu juga untuk memberikan mesej yang jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili.

 

Beliau berkata pindaan yang mencatat sejarah besar negara itu adalah untuk melindungi mandat rakyat yang memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada Ahli Dewan Rakyat ketika proses pilihan raya.

 

“Selain itu, saya yakin rang undang-undang ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah, sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa panjang,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan memandang serius tindakan bertukar parti, ‘lompat parti’, ‘defection’, ‘party jumping’ atau ‘floor crossing’ yang telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum kerana ia melibatkan mandat dan kepercayaan rakyat yang memilih wakil mereka di Dewan Rakyat.

 

Justeru, bagi membuktikan keseriusan kerajaan dalam perkara itu Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri bersetuju merealisasikan pindaan perlembagaan berkenaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

 

Ismail Sabri berkata, penggubalan rang undang-undang itu mengambil masa hampir setahun dan proses penggubalannya bukan mudah kerana melibatkan masa, tenaga dan komitmen semua pihak terlibat iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Parlimen Malaysia.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Katanya, sokongan semua Ahli Parlimen kepada pindaan rang undang-undang itu amat penting memandangkan keperluan Fasal (3) Perkara 159 yang tertakluk kepada Fasal (4) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan tidak kurang dari dua pertiga atau 148 (jumlah minimum) daripada jumlah Ahli Majlis Parlimen, Bernama melaporkan.

 

“Besarlah harapan saya agar rang undang-undang ini dapat disokong dan diluluskan sebulat suara oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia. Rang undang-undang ini merupakan satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

 

“Semoga rang undang-undang ini berupaya melakar sejarah sepertimana Pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian Malaysia Tahun 1963 yang memperoleh sokongan penuh daripada semua Ahli-ahli Parlimen yang berjiwa besar,” katanya. - DagangNews.com