KUALA LUMPUR 21 April - Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menyaksikan peningkatan 52% bagi trafik antarabangsa pada Mac 2022 berbanding bulan sebelumnya.
Peningkatan itu direkodkan menerusi 420,000 pergerakan penumpang antarabangsa berikutan pelaksanaan pelbagai program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Kuala Lumpur dan Singapura, Bangkok, Phuket dan Phnom Penh serta antara Pulau Pinang dan Singapura.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, pergerakan penumpang antarabangsa di lapangan terbang tempatan meningkat secara berperingkat-peringkat sejak pembukaan semula sempadan pada 1 April lalu.
Sejak itu, katanya, kumpulan merekodkan purata pergerakan antarabangsa sebanyak 20,000 sehari.
"Kami menjangkakan ia akan terus meningkat apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mula menerima penumpang antarabangsa bulan ini.
"Sebelum pandemik COVID-19, ia merupakan lapangan terbang ketiga paling sibuk dengan trafik antarabangsa yang merekodkan purata 8,460 sehari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bulan lalu, MAHB merekodkan 5.31 juta pergerakan penumpang dengan lapangan terbang di Malaysia merangkumi 57% atau 3.03 juta penumpang.
Istanbul Sabiha Gokcen International Airport pula merekodkan 2.29 juta penumpang dengan 1.15 juta adalah penumpang antarabangsa manakala 1.14 juta penumpang domestik.
Di Malaysia, keseluruhan pergerakan penumpang meningkat sebanyak 19% pada Mac berbanding Februari 2022.
Trafik penumpang domestik juga meningkat sebanyak 15% kepada 2.61 juta berbanding bulan sebelumnya.
Iskandar Mizal berkata, dengan perjalanan udara yang semakin meningkat, MAHB kekal komited untuk menyediakan pengalaman yang selamat dan lancar kepada semua penumpang yang melalui lapangan terbang di bawah kendaliannya. - DagangNews.com








