Langkah Sime Darby bawa masuk BYD mungkin jadikan Atto 3 EV termurah di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Langkah Sime Darby bawa masuk BYD mungkin jadikan Atto 3 EV termurah di Malaysia

Atto 3 ialah SUV segmen C elektrik dan kini dijual secara runcit di Australia dan Thailand pada harga sekitar RM137,000 hingga RM147,000. - Gambar : Laman web BYD
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Sept - Langkah Sime Darby Bhd. membawa masuk kenderaan elektrik (EV) BYD ke pasaran Malaysia dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam segmen tersebut. 

 

Menurut RHB Research, Sime Darby sudah pun menjadi pengedar BYD di Singapura (melalui Vantage Automotive) dan ia hanya menunggu masa yang sesuai untuk membawanya masuk ke negara ini.

 

Tambahan pula, katanya, BYD baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan menyediakan kemudahan di Thailand untuk mula mengeluarkan 150,000 kereta penumpang setahun mulai 2024 untuk kegunaan domestik, dan mengeksport ke Asia Tenggara dan Eropah. 

 

"Buat masa ini, kami tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai potensi harga jualannya di Malaysia. Jika Atto 3 dijual di Malaysia pada harga RM137,000 hingga RM147,000, maka ia mungkin akan menjadi EV termurah di negara ini tidak lama lagi, menyingkirkan Hyundai Kona e-lite, yang pada masa ini mempunyai harga permulaan RM157,000.

 

"Harga Atto 3 mungkin bertentangan dengan Ora Good Cat EV yang dikeluarkan Great Wall Motors, yang dikhabarkan akan dijual antara RM130,000 hingga RM180,00," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Atto 3 ialah SUV segmen C elektrik dan kini dijual secara runcit di Australia dan Thailand pada harga sekitar RM137,000 hingga RM147,000 manakala E6 baharu ialah MPV kompak elektrik dan kini dijual di Singapura pada harga S$116,00.

 

Semalam, Sime Darby Motors (SDM) memeterai Perjanjian Pengedaran dengan BYD, pengeluar terkemuka dunia bagi kenderaan tenaga baharu, sekali gus menyaksikan kemasukan EV BYD ke pasaran Malaysia.

 

Kerjasama itu turut menyaksikan SDM bertindak menjadi pengedar EV untuk pasaran kereta penumpang tempatan membabitkan model ATTO 3 dan model baharu e6.

 

BYD ialah pengeluar kenderaan tenaga baharu terkemuka dunia dan perkongsian ini akan membawa kepakaran BYD ke pasaran Malaysia melalui pelbagai model EV.

 

RHB Research berkata, Sime Darby boleh mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat automotif dengan tawaran EV paling komprehensif di negara ini berikutan penyertaan BYD dalam senarai jenama terkenalnya di Malaysia. 

 

"Berdasarkan semakan kami baru-baru ini didapati tempahan untuk EVnya kekal mantap walaupun mempunyai tempoh menunggu yang lama," katanya.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, impak kepada pendapatan tidak terlalu ketara memandangkan kenderaan BYD berkemungkinan akan menjadi unit siap dibina (CBU) pada masa depan (memandangkan pengeluaran BYD akan datang di Thailand).

 

Namun, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sime Darby dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.75 sesaham. 

 

"Ini kerana penawaran EV yang semakin berkembang, membolehkan Sime Darby meraih peluang dalam permintaan yang semakin meningkat untuk EV pada tahun-tahun akan datang," katanya. 

 

Setakat 9.41 pagi, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM2.14 dengan 182,200 saham diniagakan. -DagangNews.com