KUALA LUMPUR 29 April - Ladang sawit dan kemudahan pemprosesan minyak sawit perlu mematuhi piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2022 yang dilancarkan bulan lepas.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, mulai 1 Januari 2024, pemegang sijil MSPO akan diaudit semula berdasarkan piawaian MSPO 2022 yang dipertingkatkan.
Beliau berkata, sehingga 31 Mac 2022, 97.33% terdiri daripada ladang sawit dan pekebun kecil serta 453 daripada keseluruhan 464 kilang sawit berlesen di negara ini telah menerima pensijilan MSPO.
Jelasnya, MSPO 2022 menggabungkan keperluan kemampanan semasa bertujuan mendapatkan pengiktirafan daripada negara pengimport minyak sawit dengan menambah baik amalan kemampanan.
"Ini selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia. Kami memperkukuh kriteria piawaian pensijilan.
"Piawaian yang dipertingkatkan memberi tumpuan kepada amalan mampan, dengan mengambil kira perubahan dalam keperluan kemampanan global. MSPO 2022 kini merupakan skim pensijilan kebangsaan untuk ladang sawit, pekebun kecil dan kemudahan pemprosesan minyak sawit dan mereka perlu mematuhi piawaian baharu untuk mendapatkan pensijilan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Ahmad berkata, MSPO 2022 juga menyaksikan industri minyak sawit mengamalkan konsep nilai pemuliharaan tinggi (HCV) dengan tafsiran nasional dalam garis panduan HCV MSPO.
Beliau berkata, keperluan kritikal lain melibatkan dasar yang komited kepada tiada penebangan hutan, tiada pembangunan di kawasan gambut, dan tiada eksploitasi.
"Gas rumah hijau (GHG) daripada perubahan guna tanah dan kaedah untuk mengukur GHG juga terkandung di dalam MSPO 2022. Keperluan kritikal lain yang ditambah dalam MSPO 2022 ialah kebolehkesanan dan kesahihan buah tandan segar (BTS) serta kelakuan beretika," katanya.
Katanya, MSPO 2022 juga dapat menangani kempen anti-minyak sawit oleh pertubuhan bukan kerajaan di Barat mengenai kualiti produk dan pengurusan ladang sawit Malaysia serta persepsi negatif terhadap minyak sawit.
“MSPO 2022, dengan standard yang dipertingkatkan, dapat menangani cabaran yang kita hadapi, terutamanya berkaitan persepsi negatif di Barat. Ia juga akan memastikan kualiti unggul minyak sawit dan produk berkaitan minyak sawit negara dan seterusnya, mengembangkan pasaran eksport Malaysia.
"Pensijilan baharu ini akan memastikan produk minyak sawit Malaysia mampan dan boleh diterima dalam pasaran global,” tambahnya. - DagangNews.com








