KWSP umum dividen 5.35 peratus simpanan konvensional dengan jumlah pembayaran RM45.44 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWSP umum dividen 5.35 peratus simpanan konvensional dengan jumlah pembayaran RM45.44 bilion

SHAH ALAM 4 Mac - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 5.35 peratus untuk simpanan konvensional membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM45.44 bilion bagi tahun 2022. 

 

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan dividen 4.75 peratus untuk simpanan shariah dengan jumlah pembayaran sebanyak RM5.70 bilion bagi 2022.

 

Ini menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan untuk 2022 sebanyak RM51.14 bilion.

 

Amir Hamzah berkata, pulangan itu sebahagian besarnya dipacu oleh strategi KWSP yang menekankan kepada kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP.

 

Selain itu, tambahnya, portfolio KWSP yang pelbagai dan kecairan yang sihat membantu mengurangkan risiko dan membolehkannya untuk mengekalkan aset pelaburan melebihi RM1 trilion dan mengisytiharkan kadar dividen yang baik untuk 2022.

 

“Pembayaran sebanyak RM51.14 bilion ini akan memanfaatkan lebih daripada 15 juta ahli KWSP, termasuk ahli daripada sektor tidak formal yang berdaftar dengan i-Saraan, iaitu sebuah program caruman sukarela berasaskan insentif," katanya dalam taklimat media mengenai prestasi kewangan KWSP pada 2022 seperti dilapor Bernama.

 

 

kwsp

 

 

Amir Hamzah berkata, beliau percaya dividen ini serta pengukuhan prestasi KWSP yang berterusan akan memberi manfaat kepada simpanan persaraan ahli, terutamanya apabila dilihat daripada aspek jangka panjang.

 

“Walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kami akan terus mengutamakan kejayaan jangka panjang portfolio pelaburan kami dan membina semula simpanan persaraan ahli,” katanya.

 

Setakat 31 Dis 2022, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar lebih rendah sebanyak RM55.33 bilion berbanding RM68.89 bilion pada 2021, didorong oleh ketidaktentuan pasaran dan penilaian pasaran ekuiti dan pendapatan tetap yang lebih lembab.

 

Tahun kewangan 2022, tambahnya, menyaksikan pertumbuhan global yang lebih perlahan dan kenaikan kadar inflasi yang tinggi, ditambah dengan pengetatan dasar monetari oleh bank pusat utama untuk mengekang tekanan inflasi.

 

“Pasaran pendapatan tetap juga gagal mencatatkan prestasi yang baik apabila indeks bon merekodkan pulangan negatif untuk tahun yang sama, sebahagian besarnya disebabkan oleh hasil bon yang tinggi berikutan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang berterusan.

 

“Ketidakstabilan geopolitik juga merupakan faktor utama mempengaruhi pergerakan pasaran, dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang telah melonjakkan harga komoditi, ditambah pula dengan pergolakan antara AS dan China,” katanya. -DagangNews.com