KUALA LUMPUR 1 Ogos - Kulim (Malaysia) Bhd. mencatat keputusan kewangan kukuh bagi 2021 bersandarkan kepada kenaikan harga minyak sawit di pasaran dan juga peningkatan kecekapan operasi, hasil daripada program transformasinya untuk menjadi syarikat perniagaan tani terkemuka.
Meskipun tahun lalu menyaksikan pelbagai cabaran akibat pandemik COVID-19 yang berlanjutan serta faktor-faktor luaran lain, kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM433.81 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21). Keuntungan ini jauh mengatasi kerugian bernilai RM316.45 juta yang dicatat pada tempoh sebelumnya.
Perolehan melonjak kepada RM1.65 bilion (48.56%) daripada RM1.11 bilion pada tahun sebelumnya, walaupun jumlah jualan dan hasil dari perniagaan perladangan dicatat lebih rendah.
Ini berjaya dicapai berdasarkan harga jualan purata yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah dan isirong sawit yang masing-masing meningkat sebanyak 60.66% dan 77.64%.
Dengan kemerosotan nilai dan perbelanjaan peruntukan yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, kumpulan berjaya memperkukuhkan kedudukan kewangan untuk kembali mencatat keuntungan.
Di sebalik pelbagai cabaran semasa, Kulim tetap berupaya membawa hasil sehektar kepada 20.11 tan metrik per hektar pada FY21 berbanding 22.93 tan metrik per hektar pada FY20.
Pencapaian ini adalah lebih tinggi berbanding hasil purata yang dicapai oleh industri sawit di Johor dan Semenanjung dengan masing-masing sebanyak 17.73 tan metrik per hektar dan 16.24 tan metrik per hektar.
Bagi tempoh sama, kumpulan telah memproses sejumlah 1,419,613 tan metrik buah tandan segar (BTS) dan jumlah pengeluaran minyak sawit mentah sebanyak 295,747 tan metrik.
Walaupun kadar perahan minyak (OER) menurun kepada 20.83% daripada 21.04%, namun kadar purata OER Kulim tetap lebih tinggi daripada purata industri iaitu sebanyak 19.68% bagi Semenanjung dan 19.92% secara keseluruhan.

Mengulas mengenai prestasi kewangan kumpulan, Pengarah Urusan Kulim, Mohd. Faris Adli Shukery dalam kenyataan berkata, walaupun menghadapi kesukaran dari segi operasi ekoran tenaga kerja yang tidak mencukupi, namun dari segi kewangan kumpulan berjaya meraih manfaat daripada harga produk sawit yang melambung tinggi.
Katanya, ia telah menghasilkan keputusan kewangan antara yang terbaik pernah kami catat di sebalik pengeluaran dan hasil yang kurang optimum.
"Kumpulan kini kian berkembang dan menjadi syarikat yang tertumpu kepada pertanian, memiliki keupayaan digital yang kukuh dan beroperasi secara mampan.
"Inilah syarikat yang kami sasarkan akan terhasil dari program transformasi yang dilaksanakan,” katanya.
Mengenai prospek kumpulan, beliau berkata, Kulim kini bersedia untuk memperluaskan operasi syarikat daripada perladangan kelapa sawit kepada perniagaan tani bersepadu.
Syarikat akan mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pertengahan dan hiliran menerusi usaha sama dan/atau pengambilalihan kilang penapisan serta loji pemerahan isirong sawit.
“Objektif utama kami adalah untuk menjadi syarikat ulung yang dapat meningkatkan jaminan makanan bukan sahaja di peringkat negeri, malah untuk seluruh negara.
"Kami akan menyediakan pasaran sehenti untuk para peniaga kecil, syarikat-syarikat besar dan juga syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan,” jelas beliau. - DagangNews.com








