KTMB tawar Ekspres Khas Keluarga Malaysia ke Pantai Timur sempena Hari Raya Aidiladha | DagangNews Skip to main content

KTMB tawar Ekspres Khas Keluarga Malaysia ke Pantai Timur sempena Hari Raya Aidiladha

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Jun - Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sekali lagi menawarkan Ekspres Khas Keluarga Malaysia (EKKM) bagi perjalanan dari KL Sentral ke Tumpat bermula 8 Julai 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, ia berikutan sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengguna Pantai Timur semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini untuk pulang ke kampung menggunakan perkhidmatan EKKM.

 

“KTMB menjangkakan tren ini akan mendapat sambutan yang amat baik seperti mana sambutan Aidilfitri baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Seperti sebelum ini, perkhidmatan tren khas itu melibatkan laluan dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya. Sebanyak 516 tiket ditawarkan dengan perkhidmatan koc katil, koc tempat duduk premier dan superior.

 

Tren khas itu juga dilengkapi dengan koc buffet yang menawarkan ruang makan serta koc chillax yang menyediakan ruang untuk aktiviti solat dan santai bersama keluarga.

 

EKKM menawarkan harga tiket bermula RM55.00 sehingga RM83.00 dan tiada tambang konsesi untuk perkhidmatan tersebut. Ia akan mula dijual pada 15 Jun 2022 bagi perjalanan 8 Julai dan 12 Julai 2022.

 

Tren akan berlepas pada 8 Julai 2022, pada pukul 11.00 malam dari KL Sentral dan akan berhenti di 16 stesen iaitu Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bahru dan Tumpat.

 

Perkhidmatan ini dijangka tiba di Stesen Tumpat, pada 9 Julai 2022, pukul 3.53 petang. Manakala, perjalanan balik dari Stesen Tumpat adalah pada 12 Julai 2022, pukul 10.50 malam dan akan tiba di Stesen KL Sentral pada 13 Julai 2022, pukul 3.04 petang.

 

Bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity, tiket telah mula dijual sejak 27 Mei 2022 lepas melibatkan 32 servis tren ETS dan 22 servis tren KTM Intercity. 

 

Orang ramai dinasihatkan untuk membuat pembelian awal dan mengelakkan pembelian di saat-saat akhir. Tiket boleh didapati di kaunter, dan di atas talian dengan memuat turun aplikasi KTMB Mobile di Google Play, App Store, Huawei AppGallery.

 

Sistem KITS berfungsi sebagai platform tunggal bersepadu untuk pengguna membuat tempahan, pembelian, pindaan dan pembatalan tiket serta boleh mengemukakan aduan/cadangan bagi penambahbaikan perkhidmatan KTMB.

 

Pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB serta laman sesawang di www.ktmb.com.my. - DagangNews.com