KUALA LUMPUR 31 Mac - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri ke Pantai Timur sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.
KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, melalui inisiatif ini, pihaknya akan menyediakan empat perjalanan tren ekspres yang beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya.
Menurutnya, sebanyak 1,864 tiket ditawarkan untuk tren khas ini.
"Perkhidmatan tren khas ini diadakan sebagai salah satu pengangkutan alternatif sempena Aidilfitri kali ini untuk pulang ke Pantai Timur selain menggunakan jalan darat yang sering kali sesak dengan kadar trafik yang tinggi.
"Inisiatif ini juga khusus buat mereka yang ingin pulang ke kampung dengan selesa, selamat dan tambang yang berpatutan," katanya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementerian berterima kasih kepada KTMB untuk inisiatif itu bagi memberikan penyelesaian kepada warga Pantai Timur untuk pulang ke kampung halaman.
"Sememangnya, kita sedia maklum, kesesakan semasa musim perayaan adalah masalah utama negara kita.

"Perkhidmatan ini menawarkan keselesaan kepada orang ramai, kanak-kanak dan warga emas untuk balik kampung," katanya.
Tren Khas Lambaian Aidilfitri akan berhenti di 16 buah stesen, antaranya Stesen Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Gemas, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah, Wakaf Bharu dan Tumpat.
Tren khas ini dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier, koc tempat duduk superior, koc buffet, dan koc chillax.
Tiket-tiket akan mula dijual pada 1 April 2023, pukul 10 pagi dengan harga bermula daripada RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala.
Para pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman web KTMB. - DagangNews.com








