Krisis perbankan bakal jejas harga minyak sawit mentah, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Krisis perbankan bakal jejas harga minyak sawit mentah, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - Krisis perbankan yang menyeluruh yang membawa kepada kekurangan dolar Amerika Syarikat (AS) di pasaran akan mengekang perdagangan global selain menjejaskan harga komoditi termasuk harga sawit mentah (MSM).

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, dolar AS merupakan mata wang dominan dalam pasaran tukaran asing global dengan menguasai hampir 90% bahagian pasaran.

 

“Kekurangan dolar AS mungkin menjejaskan import dan eksport seperti dialami ketika krisis kewangan global 2007-2008, apabila bank bukan AS tiba-tiba mengalami kekurangan setelah firma kewangan negara itu tidak mahu meminjamkan mata wang itu kepada kaunter mata wang asing mereka.

 

“Bagaimanapun, kekurangan global dolar AS masih boleh mengakibatkan gangguan perdagangan yang tidak diingini (walaupun lebih banyak negara mempelbagaikan selain daripada perdagangan dalam denominasi dolar AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini), penambahan inventori dan tekanan harga komoditi global,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pada 2008, harga niaga hadapan MSM merosot 68% kepada RM1,390 satu tan pada Oktober daripada RM4,330 satu tan pada Mac tahun yang sama disebabkan krisis kewangan global.

 

Firma itu turut mengingatkan bahawa walaupun MSM menyumbang kira-kira satu pertiga kepada pengeluaran minyak dan lemak global pada 2022, bahagiannya dalam eksport global jauh lebih tinggi iaitu pada 54%.

 

“Ini menjadikan MSM lebih terdedah kepada kekurangan dolar AS berbanding minyak makan lain. 

 

"Sebelum krisis perbankan ini, beberapa negara pengimport sudah mengalami kekurangan dolar AS seperti Sri Lanka, Pakistan, Bangladesh dan beberapa negara Afrika.

 

“Kami kekal neutral dalam sektor ini dengan andaian bahawa bank-bank pusat akan belajar daripada masa lalu dengan mengambil langkah awal bagi mengelakkan krisis kewangan global yang lain,” katanya. - DagangNews.com