KPT, Suruhanjaya Sekuriti jalin kerjasama bangunkan program graduan pasaran modal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPT, Suruhanjaya Sekuriti jalin kerjasama bangunkan program graduan pasaran modal

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 April - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan bersama Program Graduan Pasaran Modal (CMGP).

 

KPT dan SC dalam kenyataan bersama memaklumkan, CMGP bertujuan meningkatkan ilmu dan kebolehpasaran seramai 9,000 graduan universiti awam dan swasta terutamanya bagi industri pasaran modal dalam tempoh tiga tahun.

 

Katanya, ia juga dibiayai melalui peruntukan sebanyak RM30 juta oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) iaitu sebuah dana yang diurus oleh industri pasaran modal sendiri.

 

"Program yang dijangka mampu menampung kekurangan tenaga kerja mahir di industri pasaran modal ini akan dapat membantu menghasilkan graduan yang lebih bersedia untuk diterap ke dalam pasaran modal tersebut.

 

"Ini sekali gus akan mengurangkan defisit tenaga mahir di pasaran modal, seterusnya mempertingkatkan kebolehpasaran graduan," katanya,

 

Terdahulu, MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang turut menjalankan tugas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi iaitu Ahmad Rizal Adnan, sambil disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

 

CMGP yang dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat, diterajui oleh SC dengan kerjasama KPT, Kementerian Kewangan Malaysia, Bursa Malaysia dan wakil-wakil kanan industri pasaran modal.

 

Menurut kenyataan itu, antara skop kerjasama yang digariskan dalam MoU tersebut, termasuk meningkatkan kesedaran terhadap peluang kerjaya pelbagai disiplin berkenaan industri pasaran modal dalam kalangan graduan di Malaysia.

 

"Kedua, membina kapasiti asas dalam kalangan graduan dalam bidang yang berkaitan dengan pasaran modal di Malaysia, ketiga, mempromosikan CMGP melalui penganjuran ceramah dan pameran kerjaya bagi membangunkan saluran bakat graduan yang konsisten bagi pasaran modal di Malaysia.

 

"Selain itu, bekerjasama dengan wakil-wakil kanan Bursa Malaysia dan industri pasaran modal, serta Naib Canselor daripada universiti tempatan utama dengan penuh komitmen dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti teras dan utama CMGP," katanya.

 

Tambahnya, skop kerjasama itu turut mengenal pasti graduan yang berkelayakan untuk mengambil bahagian dalam program berstruktur yang dikelolakan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) dan Program Pembangunan Kepimpinan dan Penempatan Kerja CMGP. - DagangNews.com