KPJ Healthcare rancang lupus operasi luar negara yang tidak menguntungkan | DagangNews Skip to main content

KPJ Healthcare rancang lupus operasi luar negara yang tidak menguntungkan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Mei - KPJ Healthcare Bhd. merancang untuk melupuskan operasinya di luar negara, antaranya, Jeta Gardens (Australia) dan Indonesia menjelang akhir 2022 atau suku ketiga 2023, demikian menurut CGS-CIMB Research.

 

Penganalisisnya, Sherman Lam Hsien Jin berkata, langkah itu dilaksanakan berikutan kumpulan berdepan cabaran dari segi kawal selia dan kos operasi (opex) yang tinggi.

 

Namun begitu, katanya, kumpulan perubatan itu tetap terbuka untuk mengembangkan operasinya di luar Malaysia dengan syarat model perniagaan itu berdaya maju secara komersial.

 

"Walaupun tiada butiran terperinci buat masa ini, tetapi, kami melihat potensi penjualan ini secara positif.

 

"Ini kerana KPJ akan dapat meraih hasil tunai daripada penjualan perniagaan yang merugikan ini (operasi luar negara menyumbang kerugian selepas cukai pada tahun kewangan 2021 sebanyak RM56 juta)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Berdasarkan laman web KPJ, kumpulan kini mempunyai 28 hospital di Malaysia, 2 hospital di Jakarta, Indonesia diikuti Thailand dan Bangladesh masing-masing 1 hospital. 

 

Selain itu, KPJ juga memiliki 4 pusat persaraan dan penjagaan warga emas di Kuala Lumpur, Sibu, Pahang dan Brisbane, Australia (Jeta Garden).

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan Jumaat lalu, KPJ mencatatkan untung selepas cukai (PAT) sebanyak RM26.4 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, melonjak 73% berbanding RM15.2 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Pertumbuhan keuntungan bagi suku pertama berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya dipacu oleh langkah-langkah penghematan dan proaktif yang diambil syarikat untuk menampung kos operasi dan melindungi margin semasa menghadapi pandemik COVID-19.

 

Pendapatannya bagi suku dikaji turut meningkat 7% kepada RM651.9 juta, berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Hsien Jin berkata, kumpulan menjangkakan kedatangan pesakit akan kembali meningkat pada suku kedua dan seterusnya memandangkan keperluan kuarantin ditarik balik sejak April lalu dan pengembangan kapasiti katil sedia ada.

 

Katanya, KPJ menjangkakan kadar penghunian katil (BOR) akan kembali kepada paras sebelum pandemik sekitar 66 hingga 67% pada akhir Mei.

 

"Kumpulan turut memulakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan intensiti hasil hospital habnya, termasuk melancarkan 'Pusat Kecemerlangan' baharu (contoh pusat kardiologi baharu di KPJ Ampang pada akhir 2022 manakala yang lain akan dilancarkan mulai 2023)," jelasnya.

 

Bagaimanapun, beliau mendapati, dari segi tekanan kos, industri hospital sedang berdepan dengan kekurangan jururawat berlesen kerana kebanyakannya menerima tawaran bekerja di Singapura dan Asia Barat selepas sempadan dibuka semula.

 

Pada masa sama, katanya, gaji minimum yang lebih tinggi sebanyak RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei lalu juga boleh memberi kesan tidak langsung mulai suku ketiga 2022 disebabkan kenaikan harga yang dikenakan oleh penyedia perkhidmatannya (seperti pembersihan, dobi), walaupun ia akan berusaha untuk melepaskan sekurang-kurangnya sebahagian daripada kos tersebut kepada pesakit.

 

"Sementara itu, kadar cukai berkesan (ETA) sepatutnya menyederhana pada suku tahun akan datang apabila KPJ secara beransur-ansur mula mengiktiraf kerugian cukai yang tidak digunakan (berdasarkan jangkaan pulang modal EBITDA untuk 4 hospitalnya tahun ini)," katanya.

 

Mengambil kira semua faktor berkenaan, secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'pegang' terhadap KPJ dengan harga sasaran tidak berubah pada 99 sen. - DagangNews.com