KPJ Healthcare dalam trajektori positif, MIDF Research kekal saranan Beli | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare dalam trajektori positif, MIDF Research kekal saranan Beli

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Jun - MIDF Research mengekalkan saranan Beli untuk KPJ Healthcare Berhad dengan projek terbaharu iaitu pengubahsuaian Hospital Pakar KPJ Bandar Dato Onn, Johor yang diumumkan semalam berada dalam trajektori positif syarikat penjagaan kesihatan itu.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pengubahsuaian dengan kos RM18.3 juta itu dijangka meningkatkan kapasiti Hospital Pakar KPJ Bandar Dato Onn daripada 90 katil kepada 150 katil.

 

"Kami percaya permintaan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan akan meneruskan aliran meningkat berikutan peningkatan penyakit tidak berjangkit dan permintaan yang lebih tinggi untuk pelancongan penjagaan kesihatan.

 

"Mengambil kira projek ini berada dalam trend positif KPJ Healthcare, kami mengekalkan panggilan Beli untuk KPJ dengan harga sasaran (TP) RM2.54 sesaham," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hospital Pakar KPJ Bandar Dato Onn akan menjalani kerja pengubahsuaian RM18.3 juta

 

kpj

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, projek pengubahsuaian Hospital Pakar KPJ Bandar Dato Onn ini meningkatkan keupayaannya untuk menampung lebih ramai pesakit dan menambah baik ketersediaan wad bilik seorang. 

 

"Ini juga selaras dengan rancangan pengembangan KPJ Healthcae untuk meningkatkan kapasiti katilnya di hospital Malaysia sebanyak 400 katil di CY24.

 

"Pengubahsuaian itu dijangka meningkatkan kapasiti Hospital Pakar KPJ Bandar Dato Onn daripada 90 katil kepada 150 katil, meningkatkan keupayaannya untuk menampung lebih ramai pesakit dan menambah baik ketersediaan wad bilik seorang," jelasnya.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia semalam, KPJ Helthcare berkata, anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Bandar Dato Onn Specialist Hospital Sdn Bhd akan menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di dua tingkat Hospital Pakar KPJ Bandar Dato Onn pada harga RM18.3 juta.

 

Pengendali hospital itu berkata ia telah mengeluarkan surat penerimaan kepada Tg Langsat Development Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TPM Technopark Sdn Bhd. untuk pengubahsuaian kerja-kerja tingkat 8 dan 9 hospital di Johor Bahru itu.

 

 TPM Technopark pula adalah anak syarikat tidak langsung Johor Corp, menurut KPJ Healthcare dalam makluman tersebut. - DagangNews.com