KUALA LUMPUR 28 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi keyakinan tinggi terhadap Kempen Jualan Malaysia 2020 (KJM 2020) yang dilihat mampu menyumbang RM100 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat 2020.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya yakin sasaran RM100 bilion dapat dicapai sekiranya kempen tersebut berjaya mengajak masyarakat untuk berbelanja dengan penuh tanggungjawab.
"Nilai angka penjualan pada Mei 2020 adalah RM36.9 bilion, masih rendah berbanding jumlah penjualan Januari 2020 iaitu sebanyak RM46.8 bilion.
"Stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) dan komuter akan digunakan sebagai platform pengiklanan untuk kempen tersebut yang bertujuan mengajak orang ramai berbelanja di samping menjana semula ekonomi negara yang terjejas akibat COVID-19," jelasnya dalam sidang akhbar pelancaran kempen tersebut semalam.
KJM 2020 merupakan inisiatif komprehensif KPDNHEP bagi melengkapkan pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang bertujuan untuk merangsang dan menghidupkan semula pertumbuhan ekonomi domestik melalui sektor runcit.
Gerak kerja promosi KJM 2020 akan dilaksanakan hingga 31 Disember melalui poster dan paparan digital yang akan ditempatkan di seluruh stesen KTMB serta beberapa tempat awam lain seperti pusat beli-belah di seluruh negara.
Tambah beliau, kempen tersebut juga akan dijalankan dengan tema yang berbeza pada setiap bulan bagi meningkatkan permintaan kepada barangan yang mengalami penurunan permintaan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Berdasarkan kepada maklumat kementerian, permintaan untuk barang-barang tertentu seperti fesyen dan barangan berkaitan turun hingga 90%.
"Jadi sebagai contohnya, tema untuk penjualan pada bulan Ogos adalah fesyen dan kosmetik, manakala bulan September adalah bagi barangan perabot rumah," jelasnya.
Orang ramai juga disarankan untuk menggunakan aplikasi MySales Tracker bagi mengetahui maklumat dan kesahihan sesi jualan pada harga yang rendah. - DagangNews.com