Kos pasaran serantau meningkat, Kenanga Research ‘potong’ 31% unjuran pendapatan OCK bagi FY23 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos pasaran serantau meningkat, Kenanga Research ‘potong’ 31% unjuran pendapatan OCK bagi FY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Mac - Kenanga Research mengurangkan unjuran pendapatan OCK Group Bhd pada tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 31% berikutan peningkatan kos dalam pasaran serantau.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pendapatan syarikat itu bagi tahun kewangan 2022 (FY22) menjangkaui ramalannya sebanyak 6% namun memenuhi anggaran konsensus, didorong oleh peningkatan perniagaan yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku keempat mengatasi tekanan peningkatan kos dalam pasaran serantau.

 

Pendapatan FY22 bertambah baik 27% disebabkan peningkatan bilangan menara telekomunikasi kini sebanyak 5,300 unit di bawah portfolio dan pengurusan syarikat di Malaysia, Vietnam dan Myanmar.

 

Selain itu, pendapatan FY22 juga meningkat disebabkan yuran sewa yang tinggi disebabkan nisbah penyewaan tinggi terutamanya di Vietnam dan Myammar dan sumbangan tinggi daripada ladang solarnya, katanya di dalam nota.

 

“Kami terus memilih OCK kerana ia mempunyai peluang berkembang luar biasa untuk segmen infrastruktur telekomunikasi di Vietnam dan Myanmar yang masih agak kurang perkhidmatannya, terutamanya di kawasan luar bandar.

 

OCK juga berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada inisiatif Jendela dan pelancaran 5G di Malaysia dengan liputan populasi 5G yang akan dipercepatkan kepada 80% menjelang akhir 2023,” tambahnya.

 

Selain itu, tempahan semasa OCK adalah sebanyak RM358 juta dan berpotensi untuk berkembang pada pelancaran 5G serta kestabilan dan keterlihatan pendapatan kira-kira 62% daripadanya adalah pendapatan berulang daripada penyelenggaraan menara telekomunikasi (55,000 menara di mana kira-kira 89% di Indonesia) dan pajakan menara telekomunikasi.

 

Menurut firma tersebut, OCK juga menjadi proksi kepada pemindahan ibu kota baharu Indonesia ke Kalimantan dari segi infrastruktur telekomunikasi  memandangkan kedudukan pasarannya dominan di Indonesia, di mana ia kini meliputi 45% bahagian pasaran dalam penyelenggaraan menara telekomunikasi.

 

Syarikat itu juga mempunyai potensi peluang perniagaan di pasaran lain seperti Laos, di mana ia telah dianugerahkan lesen menara telekomunikasi pada awal 2023, dan Philippines, tambahnya.

 

Oleh itu, Kenanga mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) yang diturunkan kepada 69 sen. -DagangNews.com