Kontrak perkampungan pekerja MyEG di Pulau Pinang bernilai RM20.4 juta dijangka sumbang hasil besar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak perkampungan pekerja MyEG di Pulau Pinang bernilai RM20.4 juta dijangka sumbang hasil besar

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 April - Kejayaan menyiapkan projek perkampungan pekerja dijangka menyumbang hasil besar untuk segmen imigresen MyEg Services Bhd (MyEG), kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata walaupun tarikh akhir untuk memuktamadkan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) April ini, projek perkampungan itu akan memacu segmen imigresen kumpulan yang menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pendapatannya sebanyak 35%.

 

“Ini boleh dikaitkan dengan komponen projek tersebut untuk menyediakan tempat tinggal bagi tenaga kerja yang besar iaitu 7,500 pekerja asing dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia,” katanya dalam nota hari ini.

 

Tambahan pula, projek itu dijangka akan diperakui dengan pensijilan GreenRE, berfungsi sebagai bukti kepada amalan reka bentuk dan pembinaannya yang mementingkan alam sekitar.

 

MyEG, melalui anak syarikat MyEG Lodging Sdn Bhd telah memperoleh tender daripada Penang Development Corporation (PDC) untuk mewujudkan perkampungan pekerja dan kemudahan yang berkaitan dengannya di Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3) di Pulau Pinang.

 

Di bawah terma projek, MyEG Lodging akan diberi pajakan untuk sebidang tanah seluas 8.39 hektar dengan nilai RM20.4 juta bagi tempoh 30 tahun, melibatkan kerja pembinaan, penyiapan, pengurusan, dan operasi perkampungan pekerja serta kemudahan berkaitan, dengan kos sendiri.

 

Menurut firma itu, walaupun kekurangan keputusan semasa projek NIISe, mereka percaya rekod prestasi MyEG yang mengagumkan tidak mungkin menghalang keupayaan mereka untuk mendapatkan pelanjutan tiga tahun lagi untuk konsesi e-kerajaan pada Mei 2023.

 

“Tambahan pula, kami optimis terhadap inisiatif inovasi lumpulan dalam menerajui penyelesaian blockchain, yang dijangka memacu pertumbuhan mampan dalam jangka pertengahan hingga panjang, di samping pengembangan strategik dalam segmen perniagaan sedia ada,” katanya.

 

MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan kami bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23/24) sementara menunggu maklumat lanjut daripada pihak pengurusan.

 

Firma itu juga mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.00 sesaham berdasarkan FY23 EPS sebanyak 5.4sen dan PER sebanyak 19 kali, mencerminkan pandangan positif firma. -DagangNews.com