KUALA LUMPUR 19 Jan - Kontrak pembinaan pangsapuri di Selangor yang diperoleh Comintel Corp. Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Total Package Work Sdn. Bhd. disemak semula kepada RM231.11 juta.
Kumpulan menerima surat anugerah yang disemak semula itu bertarikh 19 Januari 2023 daripada Mightyprop Sdn. Bhd. dengan nilai kontrak sebelum ini (bertarikh 7 Januari dan 1 Jun 2022) berjumlah RM188.77 juta.
Menurut Comintel, kontrak itu membabitkan pembinaan bangunan utama dan kerja-kerja infrastruktur terdiri daripada dua fasa iaitu bangunan 48 tingkat (767 unit) pangsapuri perkhidmatan beserta kemudahan taman.
"Kerja-kerja pembinaan ini juga merangkumi kemudahan tangki air di aras atas bumbung di tingkat lima podium yang daripada kemudahan, ruang perniagaan (25 unit), satu unit pencawang 11kv dan tempat letak kereta serta empat tingkat tempat letak kereta bawah tanah di Damansara Perdana.
"Projek ini bermula pada 11 Disember 2022 dan dijangka siap dalam tempoh 32 bulan menjelang 11 Ogos 2025," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Kumpulan menjangkakan kontrak tersebut akan menyediakan aliran pendapatan tambahan dalam tempoh empat tahun kewangan akan datang.
"Kontrak ini juga tidak memberi sebarang kesan kepada terbitan modal saham, sebaliknya akan menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 hingga 2026," tambahnya. - DagangNews.com








