Konflik Ukraine-Rusia, pemain tempatan raih manfaat daripada kenaikan harga komoditi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Konflik Ukraine-Rusia, pemain tempatan raih manfaat daripada kenaikan harga komoditi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Feb - Konflik Ukraine-Rusia hanya memberi kesan langsung yang minimum kepada Malaysia berdasarkan hubungan dagangan antara kedua-dua negara hanya merangkumi 0.4 hingga 0.5% daripada jumlah perdagangan dalam tempoh 5 tahun lalu. 

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research bagaimanapun mendapati, perang secara berterusan ini telah mencetuskan kenaikan harga minyak yang dilihat negatif bersih bagi kedudukan fiskal Malaysia. 

 

Ini kerana katanya, peningkatan hasil kerajaan lebih daripada diimbangi oleh kos subsidi tambahan memandangkan siling harga bahan api. 

 

"Kami menganggarkan hasil fiskal akan menjana sebanyak RM300 juta bagi setiap kenaikan AS$1 setong harga minyak Brent berbanding penanda aras Kementerian Kewangan sebanyak AS$66 setong bagi 2022. 

 

"Memandangkan harga runcit petrol dihadkan (RON95: RM2.05/liter, diesel: RM2. 15/liter), kami menjangkakan bahawa kerajaan perlu menanggung kos subsidi bahan api tambahan sebanyak RM653 juta untuk setiap kenaikan AS$1 setong," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

oil

 

 

Harga minyak mentah Brent telah melonjak melebihi paras AS$100 setong, kenaikan kira-kira 50% sejak Disember 2021 apabila konflik Ukraine-Rusia mula tercetus.

 

Rusia merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar dunia sebanyak 10.5 juta setong sehari atau 11.2% daripada pengeluaran global pada 2020.

 

Oleh itu, jika sekatan akhirnya merangkumi minyak Rusia, ini boleh menyebabkan harga meningkat dengan lebih tinggi.

 

Menurut HLIB, meskipun konflik tersebut telah melanda pasaran, termasuk bursa tempatan, tetapi ia melihat peluang dagangan dalam saham dengan pendedahan kepada pemain huluan minyak dan gas (O&G) daripada harga minyak yang lebih tinggi.

 

Selain itu, katanya, ia turut memberi manfaat kepada sektor perladangan kerana gangguan bekalan minyak bunga matahari boleh memberi rahmat kepada minyak sawit. 

 

"Harga minyak tinggi boleh memberi kelebihan kepada pemain huluan seperti Hibiscus Petroleum Bhd., Dagang Nexchange Bhd. (melalui 90% pegangannya dalam Ping Petroleum dan Sapura Energy Bhd.). 

 

"Bagi sektor perladangan pula, gangguan bekalan minyak bunga matahari (76% adalah daripada rantau Black Sea yang terletak di Ukraine) akan menyebabkan pembeli mencari alternatif minyak sayuran yang lain, termasuk minyak sawit. 

 

"Harga tenaga global yang tinggi boleh mencapai Tenaga Nasional Bhd. yang kami dapati disokong dengan mekanisme ICPT dan IBR, seperti diumumkan dalam semakan semula tarif bulan lalu," katanya.

 

 

bursa

 

 

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan unjuran akhir tahun FBM KLCI pada 1,700 mata setakat ini memandangkan konflik antara kedua-dua negara itu hanya memberi impak yang terhad kepada penurunan pendapatan korporat dan makro di rantau ini dan Malaysia khususnya.

 

"Walaupun, kami menyaksikan reaksi mendadak pasaran ekuiti semalam, tetapi kami dapati masih berlaku aliran masuk bersih daripada pelabur asing sebanyak RM79.3 juta, kadar yang lebih perlahan daripada aliran masuk bersih 2 hari sebelumnya (semasa tercetusnya konflik) sebanyak RM128.9 juta dan RM159.7 juta.

 

"Kami berpendapat aliran masuk secara berterusan daripada pelabur asing akan terus menjadi pemangkin kepada pasaran," jelasnya. 

 

Firma itu juga menjangkakan harga komoditi akan terus meningkat setelah harga minyak mentah Brent melepasi paras AS$100 setong manakala harga minyak sawit mentah meningkat sehingga RM7,093 satu tan metrik.

 

Katanya, konflik itu dijangka dapat dibendung di Ukraine, justeru, percaya bahawa pasaran akan pulih daripada reaksi mendadak ini seperti yang diserlahkan oleh sasaran akhir tahun KLCI yang tidak berubah.

 

"Dengan itu, kaunter berkaitan komoditi akan mendapat manfaat. Antara saham pilihan kami termasuklah Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK), TSH Resources Bhd., Dialog Group Bhd. dan Petronas Gas Bhd.," katanya. 

 

Ia mengulangi pandangan 'positif' terhadap sektor O&G, perladangan dan teknologi.

 

Dalam dagangan pagi ini, Bursa Malaysia memulakan urus dalam nada yang positif untuk dibuka kukuh, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lebih baik di tengah-tengah krisis berterusan di Ukraine.

 

Pada 9.05 pagi, FBM KLCI menokok 7.33 mata kepada 1,581.22 berbanding 1,573.89 pada penutupan Khamis. 

 

Ringgit pula meningkat kepada RM4.1975/2005 berbanding dolar AS daripada penutupan Khamis pada RM4.2030/2080.- DagangNews.com