KUALA LUMPUR 16 Nov - Kolej UNITI Port Dickson komited mendokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju global dalam ekonomi halal dengan melahirkan lebih ramai bakat industri halal berpengetahuan dan berwibawa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, penganjuran Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2023 (PEH23) merupakan bukti komitmen pihaknya untuk memperkasakan peranan pengamal industri halal dan memartabatkan profesion eksekutif halal dari seluruh negara.
Katanya, PEH23 yang diadakan selama dua hari di Pusat Konvesyen Bangi Avenue merupakan platform perkongsian idea dan bertukar-tukar pandangan secara eksklusif melibatkan pengamal pensijilan halal daripada pelbagai industri.
"Acara peringkat nasional ini merupakan kesinambungan kejayaan penganjuran Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2022.
"Ia terbukti telah memberi peluang kepada eksekutif halal dan pengamal industri halal mendapatkan maklumat terbaharu mengenai hala tuju serta polisi kerajaan melalui sesi perbincangan panel melibatkan pelaksana dasar, pakar pelbagai bidang berkaitan halal," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Amir Hamzah, melalui persidangan kali kedua ini, pihak penganjur berjaya menarik penyertaan lebih 200 eksekutif halal yang sedang berkhidmat dalam pelbagai industri termasuk dari luar negara.
Beliau berkata, eksekutif halal merupakan pasukan barisan hadapan di dalam pelaksanaan, pematuhan syariah serta standard Pensijilan Halal Malaysia.

"Justeru, sebagai institut pengajian tinggi (IPT) pertama di Malaysia bahkan di dunia yang menawarkan program pengajian berkaitan halal, Diploma Pengurusan Industri Halal pada 2013, Kolej UNITI bertekad untuk terus melahirkan lebih ramai bakat halal yang mampu berkhidmat dengan penuh profesional termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya.
Katanya, PEH23 yang dianjurkan secara bersama oleh Kolej UNITI Port Dickson dan Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UHAC) mendapat sokongan Kerajaan Negeri Selangor melalui HIS Toyyiba dan HDC selain kerjasama daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri selain penglibatan syarikat-syarikat terkemuka tempatan.

Katanya, selain sesi taklimat pihak berautoriti dalam pensijilan halal khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor, peserta PEH23 juga berpeluang mengikuti forum dan perkongsian idea membabitkan pakar�pakar bidang berkaitan halal termasuk dari Majlis Ulama Indonesia (MUI).
"PEH23 juga membawa secara eksklusif kehadiran Pengarah Utama LPPOM MUI Pusat, Muti Arintawati yang memperincikan mengenai pelaksanaan pensijilan halal di republik Indonesia," katanya.
Tambahnya, persidangan itu juga disertai para pensyarah dan pelajar IPT dalam bidang berkaitan halal dan syariah sekali gus memberi pendedahan kepada mereka mengenai peluang serta hala tuju profesion eksekutif halal. - DagangNews.com








