Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Sept. - Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) membuat tawaran pengambilalihan berwajib ke atas semua baki saham yang tidak dipegangnya di dalam IJM Plantations Berhad (IJMP) pada kadar RM3.10 sesaham.
Perkara itu dimaklumkan IJMP kepada Bursa Malaysia, yang merujuk kepada notis dikeluarkan oleh RHB Investment Bank Berhad yang mewakili KLK pada 30 Ogos lalu.
Menurut IJMP, tawaran tersebut juga akan dilanjutkan kepada individu yang bertindak bersama (PAC) dengan KLK.
“Setakat tarikh Perjanjian Jual dan Beli Saham (SPA), KLK tidak memegang mana-mana saham IJMP.
"Namun, sejak dari hari itu sehingga tarikh notis ini, Quarry Lane Sdn Bhd (QLSB), anak syarikat milik penuh KLK, telah mengambil alih 2,135,500 saham IJMP dari pasaran terbuka, mewakili 0.24% kepentingan ekuiti di dalam IJMP.
“Pengambilalihan itu akan dilengkapkan pada 6 September 2021 menerusi transaksi perniagaan langsung di bawah perundangan dan arahan Bursa Malaysia Securities Berhad mengikut terma SPA,” jelas kumpulan.
Notis yang diterima IJMP itu antara lainnya menyatakan bahawa SPA yang telah ditandatangani oleh IJM Corporation Berhad (IJM) dan KLK pada 11 Jun 2021 menjadi tidak bersyarat, berkuatkuasa 30 Ogos 2021.
Baca : IJM Plantations: Terima sahajalah tawaran KLK - Penganalisis
Ini melibatkan pengambilalihan 56.2% saham IJM di dalam IJMP oleh KLK bernilai RM1.534 bilion.
Berdasarkan notis KLK yang disertakan bersama-sama pengumuman IJMP, KLK akan menghantar dokumen tawaran berwajib kepada semua pemegang saham dalam masa 21 hari dari tarikh notis itu atau mana-mana waktu lanjutan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Dalam pada itu, KLK juga berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian IJMP di Papan Utama Bursa Securities, kecuali pihaknya meraih penerimaan sah di bawah tawaran berwajib itu atau KLK dan pihak bersekutu memegang 90% atau lebih saham agregat.
Setakat tarikh notis itu, KLK memegang 0.24% kepentingan tidak langsung IJMP, diikuti oleh Synergy Motion Sdn Bhd yang memegang 1.78 juta saham atau 0.20% kepentingan; Pengarah Eksekutif KLK, Lee Jia Zhang (140,200 saham atau 0.02% kepentingan); Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif KLK, Datuk Yeoh Eng Khoon (27,500 saham) dan isterinya, Datin Loh Siew Choong (8,000 saham).
KLK dalam pengumuman berlainan di Bursa Malaysia menjelaskan bahawa kumpulan menerusi QLSB telah membeli 1.15 juta lagi saham IJMP pada kadar RM3.09 sesaham pada 3 September lalu dari pasaran terbuka. - DagangNews.com








