KLIA nombor 1 dunia untuk Q4 2021 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLIA nombor 1 dunia untuk Q4 2021

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Feb - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) muncul lapangan terbang nombor 1 dunia berdasarkan tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) bagi suku keempat (Q4) 2021. 

 

Kedudukan itu dicapai bersama 9 lapangan terbang antarabangsa lain dalam kategori sama iaitu lebih 40 juta penumpang setahun yang kesemuanya mencapai skor sempurna 5.00 dalam tinjauan global. 

 

Keputusan itu baru-baru ini diumumkan Airports Council International (ACI) yang bertanggungjawab untuk menanda aras lapangan terbang terbaik dunia daripada segi kepuasan penumpang keseluruhan untuk keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan. 

 

Pencapaian terbaharu KLIA memberi jaminan tambahan kepada penumpang mengenai komitmen berterusan untuk meningkatkan pengalaman lapangan terbang walaupun prosedur operasi standard (SOP) perjalanan yang ketat dilaksanakan untuk membendung wabak COVID-19. 

 

Bulan lalu, Malaysia Airports merekodkan sejumlah 2.7 juta pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang tempatannya manakala aset Turkinya, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) merekodkan 2 juta pergerakan penumpang.

 

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata, beberapa bulan kebelakangan ini telah menyaksikan pengingkatan ketara pergerakan penumpang. 

 

"Dengan peningkatan ini, kita perlu memastikan standard perkhidmatan di lapangan terbang dikekalkan secara konsisten. Menjadi tempat pertama bersama lapangan terbang global yang lain juga merupakan satu penghormatan bagi negara. 

 

"Kami bersedia untuk mengalu-alukan pelancong sebaik sahaja sekatan perjalanan antarabangsa ditarik balik. Sebagai contoh, kami telah secara konsisten mencapai skor sempurna 5.00 untuk elemen ASQ 'rasa selamat dan selamat' pada tahun 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, dengan perjalanan antarabangsa masih terhad, prestasi trafik penumpang di Malaysia dipacu menerusi perjalanan domestik. 

 

Trafik domestik direkodkan pada 2.5 juta penumpang bulan lepas, membentuk 90% daripada jumlah pergerakan penumpang Malaysia. 

 

Sementara itu, 8,700 purata pergerakan penumpang harian pada bulan lepas mencatatkan purata harian jauh lebih tinggi daripada November 2021, sebanyak 2 kali ganda walaupun lebih rendah sedikit daripada Disember 2021 dengan 2,000 purata penumpang harian. 

 

Disember secara konsisten kekal sebagai bulan puncak yang merekodkan pergerakan penumpang tertinggi dalam setahun, sebelum dan semasa COVID-19. 

 

Penyambungan semula jualan tiket untuk program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) akhir bulan lalu dan perjalanan umrah pada 8 Februari adalah perkembangan positif untuk pemulihan dalam perjalanan antarabangsa. 

 

Secara keseluruhannya, Malaysia Airports mencatatkan sejumlah 4.7 juta pergerakan penumpang pada bulan lepas untuk kedua-dua operasinya di Malaysia dan Turki, menurun sebanyak 11% berbanding rekod bulan sebelumnya iaitu 5.3 juta penumpang. - DagangNews.com