KKD lancar Pemangkin Digital AgTech bagi perkasa perniagaan tani di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KKD lancar Pemangkin Digital AgTech bagi perkasa perniagaan tani di Malaysia

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan pelancaran Pemangkin Digital AgTech dan mengalu-alukan kerjasama ke arah pembangunan platform Digital AgTech Analytics (DATA). 

 

MDEC berkata, sejajar dengan sektor yang digalakkan Malaysia Digital (MD), platform Pemangkin DATA adalah inisiatif yang memperkasakan petani dan perniagaan tani di seluruh negara dengan teknologi termaju cerapan masa-nyata mengenai produktiviti dan analisis ramalan yang akan menangani sekuriti makanan negara.

 

Katanya, ia dilengkapi dengan pelbagai ciri dari ketepatan pertanian kepada pemantauan kesihatan tanaman, ramalan cuaca, pasaran, pengurusan sumber dan analisis prestasi ladang, hanya di hujung jari.

 

"Melalui pendekatan inovatif ini, ia membolehkan petani membuat keputusan yang tepat dan meningkatkan produktiviti sambil meminimumkan jejak alam sekitar," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, ia turut menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan ekosistem utama, iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Pertanian (DOA), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Agrobank. 

 

Pertukaran MoU ini akan mengukuhkan lagi kerjasama serta membuka jalan kepada inisiatif bersama untuk mempercepatkan transformasi digital.

 

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching; Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azah Hanim Ahmad; Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Suhaimi Ali; Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh dan  Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz.

 

 

MDEC

 

 

mdec

 

 

Menurut MDEC, platform tersebut dijangka dapat menjana produktiviti daripada lebih 500 projek Digital AgTech baharu yang digunakan dan lebih 60,000 petani terlatih di seluruh negara. - DagangNews.com