Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Okt. - KKB Engineering Berhad menerusi anak syarikatnya, OceanMight Sdn. Bhd. (OMSB) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat dari Korea Selatan, Samsung Engineering Co., LTD.
Menurut makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia, MoU tersebut menggariskan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam menyediakan, menghantar dan merunding tender projek di seluruh dunia, yang melibatkan kepakaran skop kerja dan bekalan mereka.
“MoU ini sah untuk tempoh dua tahun tertakluk kepada terma yang terkandung.
“Tiada pengarah dan/atau pemegang saham utama dan/atau individu berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan, secara langsung mahupun tidak langsung dengan MoU tersebut.
“Lembaga Pengarah berpendapat bahawa MoU tersebut adalah yang terbaik untuk KKB dan kumpulannya,” jelas KKB, hari ini.
Sebagai rekod, Samsung Engineering menawarkan rangkaian perkhidmatan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bagi pelbagai industri, bermula daripada kemudahan hidrokarbon lepas pantai sehingga rawatan air kumbahan.
Sementara, KKB yang mempunyai asas kejuruteraan berkembang ke dalam sektor pembinaan seperti pembuatan paip keluli dan khas paip, pembuatan silinder LPG dan aktiviti perniagaan terkini di sektor minyak dan gas.
Pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) yang berakhir 30 Jun lalu, keuntungan bersih kumpulan menyusut kepada RM2.5 juta daripada RM4.4 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, kumpulan menyaksikan keuntungan bersih yang lebih tinggi kepada RM12.0 juta pada tempoh separuh pertama FY21 (1HFY21) berbanding RM11.2 juta.
Ketika laporan ditulis, harga saham KKB menokok 1 sen kepada RM1.34. - DagangNews.com








